fbpx
Sebuah ladang ketum yang lokasi berhampiran jalan utama di Naka, Padang Terap.

‘Daripada menoreh, baik tanam pokok ketum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

DI Kedah, pokok ketum yang pa­ling banyak ditanam serta menjadi rebutan peniaga dan pemi­numnya adalah daripada jenis urat merah dan daun jambu.

Air rebusan daun ketum jenis itu lebih pekat dan ‘padu’ serta dapat memberi lebih tenaga kepada mereka untuk bekerja.

Peminum air ketum tegar mendakwa, pokok tersebut ba­nyak ditanam di daerah Padang Terap iaitu di sekeliling rumah dan kebun termasuk yang diusahakan dalam skala besar.

“Saya juga ada tanam beberapa pokok ketum berhampiran rumah untuk kegunaan sendiri, apabila ada masa, saya rebus sendiri daun ketum,” kata seorang peminum tegar air ketum.

Katanya, terdapat pekebun mengusahakan tanaman ketum menggunakan sistem pertanian yang baik dalam skala besar.

“Kalau dahulu mereka menoreh getah dan kutip hasil sayur atau pisang, namun kini mereka tukar kepada tanaman ketum kerana lebih lumayan dan sentiasa mendapat permintaan tinggi terutama dari Thailand,” ujarnya.

Beberapa pe­ngusaha kebun di daerah Padang Terap mengakui perkara itu kerana pokok ketum mudah dijaga selain mendapat pendapatan lebih lumayan.

Seorang penanam ketum mendakwa, dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 dalam tempoh 45 hari.

Timbalan Menteri Komunika­si dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini mendedahkan bahawa lima ba­tang pokok ketum sahaja mampu menghasilkan pulangan sehingga RM1,500.

“Semasa jadi Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Ke­cil Perusahaan Getah (Risda), kita membelanjakan kira-kira RM160 juta setahun bagi membantu pekebun kecil getah.

“Sekiranya kerajaan membenarkan perusahaan ketum secara sah, ia mampu mengurangkan perbelanjaan negara dan mening­katkan ekonomi penduduk luar bandar,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya menghalalkan eksport ketum ke luar negara bagi membanteras penyeludupan daun tersebut ke negara jiran.

“Mengapa kita tidak halalkan sahaja pengeksportan ketum ke negara jiran kerana mereka di sana sememangnya mengkomer­sialkan tanaman tersebut terutama dari segi perubatan.

“Kita tetapkanlah undang-undang tertentu bagi memastikan daun ketum tidak disalah guna,” jelasnya.

Muhammad Sanusi baru-baru ini menyatakan bahawa kertas cadangan berhubung perkara itu sudah disiapkan Bahagian Peran­cang Ekonomi Negeri untuk dibawa ke Mesyuarat Exco ne­geri dan seterusnya ke peringkat Kerajaan Persekutuan.

Beliau pada masa sama berkata, cadangan yang dibangkitkannya itu bukan bermaksud semua penduduk diminta untuk mena­nam ketum kerana tanaman se­dia ada sudah banyak selain tiada lagi keputusan dibuat Kerajaan Pusat berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Per­satuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff mencadangkan supaya aktiviti penanaman ketum dilakukan se­cara terkawal, ketat serta memerlukan lesen.

“Jika dilihat sekarang ini, ta­nam pokok ketum bukanlah satu kesalahan dan ia hanya salah jika memetik dan menjualnya.

“Jadi, kawalan ke atas penanaman daun ketum ini perlu dilakukan menerusi undang-undang atau akta khas bagi mengelak lebih ramai pekebun menukar tanaman mereka kepada ketum selepas ini,” katanya.

Tambahnya, tindakan segera perlu diambil sebelum penana­man ketum menjadi tidak ter­kawal seterusnya menyumbang kepada masalah penagihan.

POPULAR