TIMBUL bantahan sesetengah pihak terhadap bacaan kuat selain azan yang dilaungkan di masjid. Ia dikatakan mengganggu mereka yang berdekatan. Apakah pandangan Datuk hal ini?
Jawapan:
Saya sememangnya ingin mengulas sedikit tentang isu bacaan selain azan menggunakan pembesar suara hingga mengganggu orang ramai.
Bacaan ini mengelirukan orang bukan Muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut:
Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.
Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan syarak.
Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri atau sedang bersolat sunat sendirian di rumah, juga ingin membacanya pada waktu lain.
Mungkin juga mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur dan ada urusan kerja yang tidak boleh ada terganggu dengan bunyi yang kuat dan lain-lain.
Bayangkan, jika orang lain pula pergi menghalakan bacaan al-Quran atau ceramah yang kuat ke arah rumah pihak yang menguatkan suara bacaan itu sehingga mengganggu urusan orang yang ada dalam rumahnya? Pasti dia juga tidak setuju jika anak kecilnya terganggu atau orang sakit tidak dapat rehat. Mengapa dia lakukan hal itu pada pihak lain?
Ramai orang bukan Muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini.
Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.
Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat,” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka sedang beribadah atau menyakitkan orang lain.
Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid.
Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis tadi dengan katanya:
“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling, maka mereka berdosa.
“Tiada syak lagi meninggalkan perbuatan ini lebih afdal, pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid. Dengan itu, kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya imam masjid jangan lakukan ini.
“Boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara.
Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara tiada faedah baginya.















