fbpx
MELANCONG bersama keluarga di dalam negara lebih menjimatkan. – gambar hiasan

Utamakan melancong dalam negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI pelancongan kini boleh bernafas semula apabila kebanyakan negara telah mula membenarkan aktiviti kemasukan pelancong termasuk di negara kita, Malaysia.

Bermula pada 1 April lalu, selari dengan peralihan fasa kepada endemik, kerajaan telah mula melonggarkan syarat-syarat kemasukan pelancong asing ke negara ini.

Negara-negara jiran juga dilihat telah berbuat demikian sama ada sedikit awal atau lewat daripada Malaysia.

Sehubungan itu, industri pelancongan menganggarkan kemasukan pelancongan asing ke negara masing-masing akan bertambah berkali ganda jika dibandingkan dengan dua tahun yang lepas sewaktu dunia dalam fasa pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, percutian atau perjalanan ke luar negara sama ada atas dasar pelancongan dan hal-hal lain ketika ini menelan belanja yang agak besar.

Ini kerana, para pelancong perlu membayar pelbagai perkhidmatan tambahan bagi memasuki negara yang hendak mereka lawati dan juga semasa pulang ke tanah air.

Perkhidmatan tambahan itu termasuk beberapa ujian kit saringan pantas (RTK) antigen dan ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum memulakan perjalanan ke luar negara.
Apabila hendak memasuki semula Malaysia pula turut memerlukan kos tambahan kepada pelancong.

Malah, beberapa negara turut mengenakan pelbagai caj tambahan.

Sebagai contoh, para pelancong antarabangsa yang hendak memasuki Thailand dikenakan syarat ketat yang mana mereka diwajibkan untuk melakukan ujian saringan kesihatan di negara masing-masing sebelum memulakan perjalanan ke negara itu.

Ujian saringan akan dilakukan sekali lagi setibanya mereka di Thailand, sebelum wajib menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari di hotel.

Pelancong juga perlu membeli polisi insurans perubatan dengan perlindungan minimum sebanyak AS$20,000 merangkumi perlindungan rawatan Covid-19.

Sementara pelancong luar yang hendak memasuki Singapura juga dikehendaki untuk melakukan beberapa pemeriksaan saringan kesihatan tambahan.

Perkara ini agak membebankan para pelancong terutama ketika dunia sedang berhadapan dengan inflasi.

Mengikut Jabatan Perangkaan, kadar inflasi di Malaysia meningkat kepada 2.2 peratus pada Februari lalu, tertinggi sejak 2011.

Justeru, pelancong dinasihatkan bertindak bijak dalam memilih destinasi pelancongan mereka.

Sebelum membuat tempahan tiket kapal terbang, tempat penginapan dan lain-lain, mereka perlu memikirkan sedalam-dalamnya mengenai bajet.

Pilihlah destinasi pelancongan yang tidak membebankan kewangan anda dan cuba elakkan daripada berhutang semata-mata ingin melancong.

Sama ada berhutang dengan orang perseorangan atau institusi kewangan lain perlu diminimumkan.

Penggunaan kad kredit juga perlu dihadkan, hanya untuk hal kecemasan.

Jadilah pengguna bijak dan uruskan kewangan anda sebaik mungkin.

Sekiranya keinginan untuk melancong tidak dapat dibendung, cukuplah sekadar melakukannya di dalam negara.

Dalam Malaysia sendiri terdapat banyak destinasi yang masih belum dilawati oleh kebanyakan pelancong tempatan.

Pada masa sama, kepelbagaian dan kecantikan destinasi pelancongan di negara ini adalah setaraf dengan tempat-tempat pelancongan luar negara.

Dalam hal ini, anda bukan sahaja membantu ekonomi tempatan, malah membantu menguruskan kewangan diri serta berjimat-cermat menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

Buat masa ini, melancong ke luar negara bukan menjadi satu keperluan.

Dinasihatkan agar para pelancong untuk tunggu dan lihat dahulu keadaan semasa.

Dijangkakan keadaan Covid-19 akan menjadi lebih baik dalam masa enam bulan lagi di seluruh dunia.

Ketika itu, lebih banyak kelonggaran bagi industri pelancongan akan diperoleh.

Destinasi pelancongan tempatan sangat memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk terus berdaya saing selepas mengalami detik-detik suram ketika pandemik Covid-19.

Jadi, kepada semua rakyat Malaysia berbelanjalah dengan berhemah dan cermat di negara sendiri.

 

Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa ialah pensyarah di Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia.

POPULAR