fbpx

Tidak tahan tiada air berterusan, penduduk buat demonstrasi aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK kampung melakukan demonstrasi aman merayu masalah air bersih yang berlarutan dapat diselesaikan segera di Kampung Kasing di Rompin semalam.

ROMPIN – ‘Tua-tua pun kena angkut air setiap hari, dahsyat sunguh tahun 2022. Mai dok sebulan rumah kami pakat sama-sama angkut air,’.

Itu antara tulisan pada kain rentang yang menjadi antara rintihan dan suara penduduk kampung dalam demonstrasi aman di Kampung Kasing di sini semalam.

Akibat tidak tahan lagi dengan masalah bekalan air yang semakin meruncing menyebabkan kira-kira 30 wakil penduduk mengadakan demonstrasi aman merayu agar masalah bekalan air bersih di beberapa kampung di situ diselesaikan segera.

Difahamkan masalah bekalan air berlarutan di Mukim Endau melibatkan banyak kampung selepas Kampung Kasing, Kampung Setajam, Kampung Kurnia, Kampung Pianggu dan banyak lagi kawasan.

Seorang penduduk Kampung Kasing, Hasnah Bakar, 58, berkata, masalah bekalan air menjejaskan kesemua lebih 100 rumah di Kampung Kasing serta di beberapa kampung berhampiran iaitu Kampung Setajam, Kampung Kurnia dan Kampung Pianggu.

“Kami amat menderita, sampai tidak dapat sembahyang, itu belum dikira urusan harian lagi, kalau dulu dua hari sekali dan malam ada juga air boleh disimpan tetapi sejak penghujung Ramadan sampai sekarang air tiada berterusan.

“Pernah sekali pihak berkenaan hantar air yang berwarna merah dan kami guna untuk mandi sehingga gatal-gatal badan dan terpaksa pergi ke stesen minyak untuk mandi semula,” katanya ketika ditemui di Kampung Kasing di sini hari ini.

Dalam pada itu seorang generasi muda Muhammad Hafiz Mohd. Dee, 32, berkata, masalah air yang terus membelenggu penduduk di situ bukan sahaja menyukarkan mereka ketika pulang ke kampung tetapi menyebabkan mereka berasa bimbang dengan keadaan ibu bapa mereka di kampung yang terpaksa mengangkut air.

Katanya, dia juga berasa hairan apabila tangki air yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit yang dibina pada 2012 kini hanya menjadi projek gajah putih apabila masih tidak dapat dimanfaatkan.

“Sudahlah tahun ini raya mengejut, balik kampung pun kami dikejutkan dengan ketiadaan air, masa hari raya isteri saya yang mengalami sakit perut begitu ‘terseksa’ kerana ketiadaan air.

“Masalah ini telah diadukan kepada pihak berkenaan yang menyatakan air terpaksa dicatu kerana tekanan rendah, kami memohon jasa baik pihak berkenaan menyelesaikan segera isu ini, kami tidak boleh tunggu lagi, ini bukan main-main, ini keperluan,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain berkata, kerajaan negeri memandang serius masalah bekalan air di negeri dan usaha giat dilakukan bagi memastikan masalah itu diselesaikan segera.

Katanya, beliau telah membawa permasalahan itu ke peringkat tindakan kerajaan negeri dan dibincangkan bersama pihak Pengurusan Air Pahang (Paip) bagi mencari penyelesaian segera termasuklah bagi memasang pam menyedut air ke tangki air.

“Perkara ini mendapat perhatian khusus daripada Menteri Besar sendiri yang turun padang bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang bagi mencari jalan penyelesai terutama kawasan ‘blackspot’ di daerah Rompin ini.

“Sebanyak RM43 juta diperuntukan untuk tujuan mengatasi permasalahan kawasan ‘blackspot’ Rompin dan projek-projek ini akan dijalankan segera dan akan melibatkan perjumpaan dengan pemimpin setempat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI