fbpx

Dilema pengusaha kantin sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

HIDUP ini bukanlah tentang bebas daripada masalah, sebaliknya tentang menyelesaikan masalah. Itu ungkapan kata legenda seniman Finland, Tom Krause. Lain orang, lain masalahnya. Tidak salah juga jika kita selami permasalahan orang lain, bukan?

Antara isu yang agak hangat diperkatakan sejak beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu ialah nasib pengusaha kantin sekolah. Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) dilaporkan khuatir ahli-ahlinya akan menarik diri daripada meneruskan operasi selepas Aidilfitri ini kerana mereka didakwa bergelut de­ngan kenaikan kos bahan mentah melebihi 50 peratus dan 30 peratus kos upah pekerja.

Dalam sibuk beraya, sempat juga penulis bersembang dengan seorang rakan yang merupakan bekas pengusaha kantin sekolah untuk menyelami isu ini. Rakan penulis itu sudah terlebih dahulu ‘angkat kaki’ daripada mengusahakan kantin sekolah sejak tahun 2014.

Kongsi bekas pengusaha kantin di sebuah sekolah di pedalaman sebuah negeri di Malaysia Timur itu, dia terpaksa berhenti mengusahakannya kerana sudah tidak mampu menanggung kerugian dan kebuntuan.

“Masalah utama ialah kos. Contohnya, pada masa itu, nak nasi lemak 50 sen tapi nak lauk telur dan ikan bilis juga, di situ kos dah melebihi harga makanan. Bila kita naikkan harga sedikit, terus sampai aduan dan ditegur pihak sekolah. Kami ni kena bayar sewa dan bayar pekerja juga. Cuti sekolah pun kami masih perlu bayar sewa walhal waktu itu tiada pendapatan pun.

“Itu belum lagi ada guru-guru yang juga mahu makanan harga murid walaupun dalam tender ditetapkan harga berlainan. Sudahlah kita ibarat ‘mensubsidikan’ duit sendiri untuk murid-murid bagi memastikan harga murah, takkan guru yang gaji besar pun sama? Aku ‘telan’ sahaja kerenah itu,” katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Melaka.

Bagaimanapun, dia akui tidak boleh berbuat apa-apa kerana sedar murid sekolah di pedalaman seperti itu memang wajar ditawarkan harga makanan yang rendah.

“Ramai miskin, jadi memang kena letak harga yang rendah. Situasi pengusaha kantin di sekolah bandar, golongan berada atau berkemampuan mungkin berlainan, yang ada netizen dakwa boleh hidup kaya-raya itu mungkin di kawasan macam itulah,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, masyarakat perlu difahamkan bahawa perniagaan kantin sekolah tidak boleh disamakan dengan perniagaan-perniagaan lain.

“Ia memang mencabar kerana kita bergelut untuk meletakkan harga rendah sesuai dengan murid sekolah sedangkan kos bahan-bahan melambung. Dilema untuk kita kekalkan harga rendah, nanti portion makanan dikurangkan, sedikit pula yang dapat anak-anak ini makan, kita juga yang dipersalahkan,” katanya.

Tiba-tiba teringat pula zaman penulis bersekolah pada tahun 1990-an, memang makanan di kantin sekolahlah yang paling murah. Nasi lemak 30 sen dan air sepuluh sen, belanja ke sekolah dengan 50 sen pun sudah cukup.

Tapi bila zaman dah berubah, nikmat sebegitu mungkin sukar dikecapi sudah. Apapun kita harap pihak berwajib bersama memikirkan solusi permasalahan ini. Susah juga kalau tiada kantin sekolah, berapa lama ibu bapa sanggup tiap-tiap hari masak dan bekalkan makanan untuk anak-anak ke sekolah? -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI