fbpx

Bawa motor jangan macam beruk, menyusahkan orang lain! – Azhan Rani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZHAN RANI berkongsi kejadian terbabit dengan satu kemalangan kecil melibat motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah lagi penunggang motosikal lain.

PETALING JAYA – Pelakon versatil Azhan Rani naik berang selepas motosikal berkuasa tinggi miliknya yang baru dibaiki, sekali lagi berdepan kerosakan selepas dilanggar motosikal lain yang ditunggang secara melulu dalam kejadian yang berlaku di Batu Caves, Selangor, semalam.

Terkesan atau masih dalam trauma dengan kemalangan yang pernah menimpanya, Azhan menasihati segelintir penunggang motosikal supaya tidak mengendalikan kenderaan mereka secara merbahaya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain, termasuk diri sendiri.

“Kepada yang menggelupur orang pakai motosikal, kau pun pakai motosikal, saya nak beritahu. Tak kisahlah berapa mahal, berapa kuasa enjin, berapa nipis blok, sudah pasang sayang kapal terbang, jangan bawa motosikal macam beruk.

“Kau nak layan pecut ke atau selekoh tajam, bukan dekat jalan raya yang sesak! Kau cucuk (menunggang secara rapat) orang lain, kemudian kau cakap tak sempat tekan brek. Bawa motosikal laju-laju di tengah jalan yang sesak kenapa?” luah Azhan.

Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani, 46, sebenarnya tidak kisah dengan keadaan motosikalnya yang calar walaupun mengakui sedikit terkilan apabila motosikal tersebut baru sahaja dibaiki.

Namun, apa yang lebih membimbangkan jika kemalangan tersebut memberi kecederaan yang teruk bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada penunggang yang melanggarnya itu.

“Baru beberapa hari motosikal aku ‘bernyawa’ balik. Calar pada motosikal bukan isunya. Kau dah tergolek, masuk besi seumur hidup, kau akan tahu azabnya. Itu pun nasib baik masih ada peluang hidup,” katanya.

Gara-gara kejadian yang berlaku semalam itu, pelakon drama bersiri Nur itu berharap supaya penunggang motosikal lain dapat menunggang motosikal mereka dengan berhemah dan mengubah sikap di atas jalan raya.

“Kepada yang baru dapat motosikal itu, tolonglah ubah perangai kamu. Pergilah main dekat litar, bukan jalan trafik perlahan. Cukup-cukuplah saya jadi mangsa bongok orang lain,” katanya.

Menerusi kisah yang dikongsikan dalam Instagram miliknya, Azhan memberitahu motosikal yang ditungganginya itu telah dilanggar dari belakang sewaktu sama-sama mencelah di sebuah jalan raya yang sesak di Batu Caves.

Kejadian tersebut menyebabkan motosikalnya calar, manakala set penghadang dan lampu motosikal individu yang melanggarnya pula pecah.

Azhan sebelum ini pernah terbabit dalam satu kemalangan motosikal di Jalan Templer, Rawang, Selangir pada awal tahun ini sehingga mengakibatkan tulang belikat pecah manakala tulang bahu dan rusuknya pula retak. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI