fbpx

Lelaki keluar memancing ditemui terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GOMBAK – Seorang lelaki ditemui dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri ketika keluar memancing bersama rakan di Sungai Sempit, Kampung Orang Asli Batu 16 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mangsa lelaki berusia 46 tahun itu merupakan seorang pendawai elektrik datang memancing kira-kira pukul 8 pagi.

“Ketika kejadian, rakan mangsa memancing di bahagian atas sungai tersebut manakala mangsa di bahagian bawah Sungai Sempit berhampiran Lubuk Jepun sebelum didapati hilang sekitar pukul 9 pagi.

“Pada pukul kira-kira 9 pagi, rakan mangsa turun ke bahagian bawah sungai dan memanggil nama lelaki terbabit namun tiada respon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, rakan mangsa berusaha mencarinya namun panik apabila menemui lelaki terbabit dalam keadaan terapung di sungai terbabit.

Jelasnya, rakan mangsa beranggapan sahabatnya itu sedang menyelam berikutan keadaan mukanya berada di dalam air.

“Setelah menyedari sesuatu yang buruk berlaku, rakan mangsa bertindak terjun ke dalam sungai dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk meminta bantuan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan selanjutnya dijalankan,” ujarnya.

Tambah Zainal, hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa pula mendapati terdapat kesan lebam pada dahi sebelah kiri namun tiada kecederaan lain.

Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Heirme Che Mat di talian 014-2389151 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI