fbpx

Sofea cari lelaki pandai simpan duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOFEA terpaksa mengehadkan cuti raya bagi membuat persediaan peperiksaan akhir semester.

Zainina Sofea Romeza, 24, seorang yang tidak mudah mengalah. Biarpun impiannya untuk bergelar juruterbang belum terlaksana, sifat mahu mencuba begitu menebal dalam diri gadis yang mesra dipanggil Sofea ini.

Bagi mengubati hatinya susulan percubaan belum berjaya, anak kedua daripada empat adik beradik ini menceburi bidang perniagaan dengan menjual persalinan wanita di Instagram dan TikTok.

Biarpun terpaksa mengatur masa antara pelajaran dan minat, Sofea tetap cekal kerana baginya masa tidak boleh dibazirkan selain simpanan masa depan sa­ngat penting.

Kepada Kosmo! Ahad, Sofea bercerita mengenai impian dan keterujaannya menyambut Syawal.

Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan tentang Sofea?
Saya merupakan penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pada masa sama, Sofea merupakan content creator dan turut menjalankan bisnes antaranya tudung dan baju di Instagram dan TikTok.

Sofea juga seorang yang tegas tetapi hati tisu, saya mudah terasa hati apabila orang marah atau berkeras dengan Sofea. Saya juga perfectionist dan akan berusaha mendapatkan sesuatu sehingga berjaya.

Bagaimana terjebak dengan bisnes?
Semuanya bermula dengan satu video saya mengayakan baju di TikTok yang menarik perhatian ramai. Melihat kepada percubaan pertama itu yang menggalakkan, Sofea ambil keputusan untuk menceburi bidang ini de­ngan lebih serius bagi menambahkan pendapatan di samping membuat simpanan masa depan.

Perkara yang orang tidak tahu mengenai Sofea?
Sejak umur 12 tahun, Sofea bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Rasa kagum dengan kehebatan mereka membuatkan diri ini mahu membina kerjaya dalam bidang itu.

Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia, Sofea ada memohon tetapi tidak berjaya kerana tidak mencapai syarat kelayakan terutama dalam mata pelajaran Fizik.

Nasib tidak menyebelahi Sofea apabila percubaan memohon sesi temu duga selepas tamat diploma turut tidak berjaya ditambah ekoran Co­vid-19.
Bagaimanapun Sofea tidak akan patah semangat dan akan terus mencuba selepas tamat pengajian ijazah untuk menjadi kadet pilot.

Lelaki pilihan Sofea?
Seorang yang berwawasan dan tidak suka buang masa. Rajin, tegas dan berdisiplin selain pandai simpan duit.

Kenangan raya, puasa yang tidak dapat dilupakan?
Sewaktu zaman sekolah, Sofea dan rakan-rakan akan bawa air kotak di dalam beg dan selepas tamat satu-satu mata pelajaran, kami akan tunduk dan masukkan kepala dalam beg untuk minum.

Lucu apabila mengenangkan tindakan kami tetapi itulah ra­gam Sofea dan rakan-rakan yang tidak tahan berpuasa.

Bila hari raya, Sofea dan rakan-rakan akan pusing rumah jiran-jiran dan seronok apabila dapat duit raya setiap tahun kira-kira RM500.
Lontong dan rendang da­ging masakan arwah nenek, adalah makanan yang paling dirindui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI