fbpx

Aidilfitri hilang seri tanpa anak sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMAWATI (kanan) bergambar kenangan bersama Muhammad Iman (kiri) yang hilang sejak Oktober tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Kepula­ngan anak-anak dari perantauan merupakan saat-saat yang dinantikan setiap ibu bapa apabila menjelangnya Syawal untuk meraikan Aidilfitri setelah sebulan berpuasa.

Namun bagi seorang ibu dari Taman Air Biru, Pasir Gudang, di sini lain pula cerita apabila anak yang bekerja di Kemaman, Terengganu hilang tanpa berita sejak 29 Oktober tahun lalu.

Dugaan pilu menyelubungi jiwa Azmawati Ab. Kadir, 54, apabila anak sulungnya, Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, masih belum ditemui meskipun pelbagai ikhtiar sudah dilakukan termasuk menggunakan khidmat perubatan Islam.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi, namun hati saya masih kuat menyatakan dia masih hidup dan kami sekeluarga menanti penuh kerinduan mungkin ada ke­aja­i­b­an menjelang Syawal ini.

“Ramadan dan Aidilfitri kali ini begitu perit buat kami, macam mana nasib anak sulung saya ini. Menjelang hari raya dia tidak pernah ketinggalan untuk pulang beraya bersama keluarga di sini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini bagaikan tiada makna buat mereka dan akan menyambutnya secara ala kadar sahaja.

Jelasnya, saat paling dirindui tatkala menjelang pagi Syawal ialah malam persiapan hari raya yang mana anaknya akan me­mintanya supaya memasak masakan kegemarannya.

“Biasanya setiap hari raya dia akan minta masak ayam ungkep itu lauk kegemarannya, tahun ini saya tak buat apa-apa, kalau masak pun sering teringat dekat dia, serba-serbi tak kena,” ujarnya sambil menahan sebak rindu.

Kosmo! pada 2 November lalu menyiarkan kisah sedih yang menimpa keluarga Azmawati.

Ujar Azmawati, sebelum anaknya hilang, Muhammad Iman pulang ke Pasir Gudang dari Kemaman, Terengganu untuk menjenguk keluarga dan tukar kenderaan.

“Dia anak sulung dari dua beradik bekerja di Kemaman, Terengganu. Dia cuti sehari sahaja hari itu, balik jenguk kami sekeluarga di Pasir Gudang dan tukar kereta, dia pakai kereta Proton Iriz nak tukar kereta Nissan Grand Livina.

“Pada 13 November, ini hari terakhir dia kerja di Kemaman, jadi sebelum balik dia ajak pergi jalan-jalan ke Kuantan, Pahang sebab itu dia bawa dulu ken­deraan lebih besar dan kami naik bas turun di sana,” katanya.

Katanya, Muhammad Iman keluar rumah dengan memandu Grand Livina bernombor pendaftaran WWF 3187 pada pukul 1.30 pagi, 29 Oktober 2021 untuk pulang ke Kemaman seorang diri.

Jelas kerani pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, pada kebia­saannya dia akan menghubu­ngi anaknya setiap sejam untuk mengetahui perkembangan perjalanannya, namun pada hari kejadian dia kepenatan sebelum tertidur.

“Bangun daripada tidur saya terus hubunginya, namun gagal, saya dan suami membuat laporan polis dan sehingga kini sudah lebih lima kali kami melalui lokasi yang menjadi laluan anak untuk ke Kemaman,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI