fbpx
BAHKAN, jika janda itu seorang yang beragama dan berakhlak mulia melebihi anak dara yang ada dalam pilihan seseorang lelaki, atau yang dicadangkan kepadanya, maka memilih janda adalah lebih baik.

Islam tidak memandang hina status janda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya seorang janda muda berusia 26 tahun. Baru-baru ini saya bercinta dengan seorang pemuda di tempat kerja berusia 25 tahun. Kami bercadang untuk berkahwin. Namun, keluarganya menghalang atas alasan saya janda. Mereka menggunakan alasan kononnya agama tidak menyukai seseorang berkahwin de­ngan janda. Benarkah demikian pendirian Islam?

JAWAPAN:
Islam tidak pernah memandang hina golongan janda. Bahkan Rasulullah SAW, isteri-isteri baginda hampir kesemuanya janda. Poligami yang dianjurkan Islam juga antara kebaikannya membantu golongan janda kehilangan suami.
Namun begitu, dari segi keutamaan, jika di hadapan seseorang lelaki ada pilihan seorang janda dan anak dara yang kedua-dua sama baik dari semua sudut, sedangkan seorang anak dara dan seorang lagi janda, maka diutamakan anak dara.
Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW yang menggalakkan berkahwin dengan anak dara. Sabda Nabi dalam hadis diriwayatkan Ibn Majah dengan sanad hasan:
“Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih reda dengan yang sedikit”. (Al-Albani menilai sebagai taraf hadis ini hasan dalam Al-Silsilah Al-Sahihah)
Maksud hadis di atas adalah oleh kerana anak dara belum pernah bergaul dengan lelaki, maka biasanya sifat kasar mereka itu kurang. Peluang memperolehi anak juga lebih luas disebabkan biasanya mereka lebih muda atau tidak terdedah kepada masalah kelahiran sebelumnya yang mungkin menghalang mereka untuk terus melahirkan anak.
Juga mereka lebih reda dengan yang sedikit di sudut pemberian lelaki, atau kehebatan hubungan seks. Ini kerana mereka belum ada pengalaman untuk dibuat perbandingan. Faktor ini boleh menyebabkan rumah tangga lebih bahagia dan mesra. Hadis ini mengkhabarkan hakikat yang sebenar.
Namun begitu, ada keadaan tertentu, mungkin janda lebih baik daripada anak dara. Ini seperti apabila janda tersebut lebih kuat pegangan agamanya. Ini akan menyebabkan segala ciri-ciri baik yang membawa kebahagiaan rumah tangga ada padanya. Maka janda boleh menyaingi anak dara dengan kekuatan agamanya.
Juga ada kalanya janda lebih baik berdasarkan kepada hajat lelaki yang inginkan janda untuk kebaikan tertentu. Seperti dia ingin wanita yang lebih matang atau janda berkenaan lebih dapat menjaga anak-anaknya disebabkan faktor-faktor tertentu. Oleh itu. dalam hadis diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Muslim: Kata Jabir: Aku mengahwini seorang wanita janda. Rasulullah SAW telah bertanya kepadaku: “Engkau telah kahwin wahai Jabir?”. Jawabku: Ya! Baginda bertanya: “Anak dara atau janda?”. Jawabku: “Janda”. Sabda baginda: “Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa”. Aku kata kepada baginda: “Sesungguhnya ‘Abd Allah telah mati dan meninggalkan anak perempuan. Aku tidak suka aku mendatangkan kepada mereka orang yang seperti mereka, maka aku pun kahwin dengan seorang wanita yang dapat mengatur dan menguruskan mereka”. Baginda bersabda: “Semoga Allah memberkatimu” atau baginda menyebut sesuatu yang baik.
Hadis Jabir itu dan hadis sebelumnya menggambarkan tujuan galakan Nabi SAW untuk memilih anak dara adalah demi kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga. Namun jika seseorang ada alasan tersendiri, di mana pemilihan janda itu membawa kebaikan tertentu kepadanya, maka itu adalah haknya. Dengan itu, Nabi tidak membantah setelah Jabir r.a memberi alasannya. Bahkan baginda doakan Jabir kebaikan.
Begitu juga seseorang wajar mengahwini janda untuk memberikan pertolongan kepadanya, seperti janda yang kehilangan suami sedangkan dia tiada tempat bergantung.
Apa yang perlu kita tahu, Islam tidak membenci dan memandang lekeh golongan janda. Bahkan, jika janda itu seorang yang beragama dan berakhlak mulia melebihi anak dara yang ada dalam pilihan seseorang lelaki, atau yang dicadangkan kepadanya, maka memilih janda adalah lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN