fbpx

Korea Utara larang rakyat pakai seluar ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Satu kempen besar-besaran kini giat dilancarkan di seluruh Korea Utara bagi memastikan penduduk tidak memakai seluar ketat. – INF News

PYONGYANG – Pihak berkuasa Korea Utara melakukan pemeriksaan besar-besaran untuk mencegah  penduduknya daripada memakai seluar ketat dan memiliki potongan rambut mengikut trend semasa,  lapor akhbar Mirror UK semalam.

Langkah itu dilaksanakan bagi membendung pengaruh berbahaya budaya pop.

Meskipun pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un sering dilihat memakai jaket kulit, rakyat yang berpakaian seumpama itu dianggap sebagai penyokong kapitalis.

Kempen besar-besaran giat dilancarkan di seluruh negara dengan Liga Belia Patriotik Sosialis menyatakan, gaya rambut dan cara berpakaian rakyat Korea Utara adalah elemen penting dalam  kehidupan seorang sosialis.

Menurut laporan laman berita Daily NK yang berpangkalan di Seoul, pihak berkuasa Pyongyang  merakam video memaparkan beberapa wanita ditahan kerana gagal mematuhi etika berpakaian negara itu.

Sebuah video yang dirakam, memaparkan wanita dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an ditahan kerana memakai seluar ketat serta mewarnakan rambut.

Mana-mana penduduk yang melanggar etika berpakaian berdepan penahanan,  seksaan atau hukuman penjara.

Mereka bagaimanapun boleh menulis surat bagi memohon maaf atas perbuatan itu serta merayu untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut bagi mengelakkan hukuman.

Selain berpakaian, penduduk yang diperiksa turut disoal mengenai jenis muzik atau video yang sering didengari dan ditonton oleh mereka. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI