fbpx

Rezeki Zauyah menyayangi kucing hasilkan produk Masha Catfood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAUYAH menunjukkan kucing kesayangan dan produk makanan kucing keluaran syarikatnya di Taman Universiti, Johor Bahru baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Bermula de­ngan mengutip kucing-kucing jalanan yang terbiar dan dibawa pulang ke rumah untuk dipelihara, seorang suri rumah, Zauyah Ahmad, 50, kini bergelar usahawan yang mengeluarkan produk makanan kucing.

Produk di bawah jenama Masha Catfood itu dihasilkan daripada resipi sendiri dengan campuran minyak kepala dara, tuna dan ayam tanpa sebarang bahan kimia dalam makanan kucing tersebut.

Menurut beliau, sehingga kini, makanan kucing Masha Catfood telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pencinta ku­cing di seluruh negara.

Lebih menarik, usahawan ini juga telah membuka kedai haiwan dengan menawarkan pelbagai produk dan kemudahan termasuk rawatan kucing, mandi, potong kuku dan khidmat nasihat di Taman Universiti di sini.

“Saya mula membela kucing sejak kecil lagi. Setiap kali bila jumpa kucing, saya akan bawa balik ke rumah dan mandikan sehingga bersih.

“Saya juga merawat ku­cing yang sakit dengan memberi minum rebusan akar serai dan rawatan tradisional.

“Semua ahli keluarga saya memang minat pada kucing terutama kucing yang terbiar dan sakit kerana tidak sampai hati melihat kucing terbiar dalam keadaan menyedihkan,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Hasil usahanya itu yang terlalu menyayangi serta merawat kucing terbiar telah membawa rezeki melimpah buat ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Berkongsi cerita lagi, Zauyah berkata, perasaan ingin mem­bela kucing jalanan secara serius bermula ketika dia mengikut suaminya, Sufian Nordin bekerja di Mersing.

“Ketika berada di hadapan sebuah bank, saya berasa sangat kasihan melihat ku­cing yang kelaparan dan ke­sejukan sebelum mula mengambil inisiatif me­rawat dan memeliharanya,” ujarnya.

Kini, Zauyah membela sehingga 55 ekor kucing dengan membina sangkar khas untuk binatang tersebut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI