fbpx

Jumlah kenderaan ke Pulau Pinang dijangka terus bertambah selepas tengah malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan trafik semakin bertambah di atas Jambatan Pulau Pinang ekoran orang ramai mula bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri. Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Hari pertama pelaksanaan Op Selamat ke-18 di negeri ini merekodkan pertambahan jumlah kenderaan yang agak tinggi berbanding semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, berbanding semalam iaitu sekitar 377,000 kenderaan yang memasuki negeri ini, jumlah itu meningkat kepada lebih 408,000 sehingga petang ini.

Justeru, beliau menjangkakan jumlah kenderaan itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa khususnya apabila pihak Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) serta beberapa konsesi tol lain menawarkan tol percuma dan diskaun bermula tengah malam ini.

“Kita jangkakan jalan raya akan terus sesak selepas dua hari raya ini (hari raya pertama dan kedua) sehingga 8 Mei depan (hari terakhir Op Selamat ke-18),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan lalu lintas semasa berhampiran Plaza Tol Juru Arah Utara di sini, petang ini.

Jelas Mohd. Shuhaily, operasi pada hari pertama ini lebih memfokuskan kepada usaha untuk menyemai kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Jika kesalahan yang sama berulang atau terdapat kesalahan ketara pada hari-hari berikutnya, maka tindakan saman akan diambil terhadap pengguna jalan raya yang berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shuhaily turut menasihatkan para pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas ketika berada di jalan raya.

“Sekarang ramai pemandu terpaksa menggunakan telefon pintar ketika memandu dengan alasan untuk mencari jalan keluar daripada kesesakan di atas lebuh raya.

“Nasihat saya, gunakanlah ia secara bijak dan bertanggungjawab,” katanya yang turut berharap agar laluan kecemasan tidak digunakan sesuka hati tanpa sebab yang munasabah oleh para pengguna jalan raya.

Pada masa yang sama, beliau juga menggalakkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing agar mengisi borang khas yang telah dikeluarkan bagi tujuan itu.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, apa sahaja boleh berlaku terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir dan sebagainya.

“Ya, kita tidak tahu macam mana tapi jika mereka mereka borang tersebut dan meninggalkan nombor telefon mereka, setidak-tidaknya kita boleh berusaha untuk mencari penghuni yang berkenaan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti bencana dan lain-lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI