fbpx

Produk makanan tamat tempoh, rosak disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk makanan yang diperiksa Pegawai JKNS..

SHAH ALAM – Sejumlah 1,407 produk makanan yang telah tamat tempoh dan bungkusan rosak disita selepas didapati masih dijual di premis makanan sekitar Selangor.

Pengesanan itu hasil Operasi Keselamatan Makanan bersempena perayaan Hari Raya Aidil Fitri 2022 pada 25 hingga 26 April lalu yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) peringkat negeri bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya telah memeriksa 42 premis meliputi pasar raya, pasar mini dan kedai runcit dengan melibatkan pemantauan terhadap 9,681produk makanan keseluruhannya.

Katanya, daripada jumlah tersebut didapati 841 produk telah tamat tarikh luput manakala 566 mempunyai bungkusan yang rosak seperti tin kemek dan bekas yang rosak.

“Kesemua produk makanan terlibat yang bernilai RM12,413.77 telah disita mengikut Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan dibawah Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983.

“Sebanyak 12 Notis 32B kesalahan dibawah Peraturan 14(9)(b), Peraturan 14(7) dan Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan semasa operasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, tindakan mahkamah boleh dikenakan sekiranya Orang Kena Notis (OKN) gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Justeru, Sha’ari mengingatkan pengusaha premis di Selangor sentiasa memastikan produk makanan yang dijual mematuhi segala keperluan perundangan seperti yang termaktub dalam Akta Makanan 1983  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI