fbpx

Nagaenthran telah jalani hukuman mati – Wisma Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan Nagaenthran K. Dharmalingam yang ditahan di Singapura telah menjalani hukuman mati pada awal pagi tadi.

KLN dalam satu kenyataan berkata, mereka melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura mengikuti rapi perkembangan kes tersebut sejak ditahan pada 22 April 2009.

Katanya, pihak Suruhanjaya Tinggi telah menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam memberikan bantuan konsular kepada Nagaenthran sepanjang berada dalam tahanan bagi memastikan hak dan kebajikan beliau sentiasa terpelihara.

“Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri pada minggu ini sekali lagi mengutuskan surat kepada rakan sejawat di Singapura sebagai usaha bagi memohon negara itu menimbang dan meringankan hukuman yang dikenakan ke atas beliau.

“Surat tersebut turut menyatakan keterbukaan kerajaan Malaysia untuk berbincang dengan Singapura bagi melaksanakan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa di antara Malaysia-Singapura,” katanya hari ini.

Menurut Wisma Putra, pada November 2021, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri telah menghantar surat pertama kepada Singapura, manakala pada Disember 2021, Yang di-Pertuan Agong juga telah mengutuskan warkah kepada Puan Yang Terutama Presiden Republik Singapura bagi meringankan hukuman ke atas Nagaenthran.

“Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan di atas maklum balas yang telah dikemukakan oleh Singapura dan menghormati sistem perundangan negara itu.

“Dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Singapura atas bantuan yang telah diberikan sepanjang tempoh tahanan dan perbicaraan Nagaenthran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI