fbpx

Kematian pertama akibat wabak hepatitis akut direkodkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA 169 kes hepatitis akut yang direkodkan, seorang kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia manakala 17 yang lain perlu menjalani pemindahan hati. – CNN

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 169 kes hepatitis akut telah dikenal pasti dalam kalangan kanak-kanak berusia sebulan hingga 16 tahun di 11 buah negara, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Sejumlah 114 kes dilaporkan di Britain selain 13 di Sepanyol, 12 di Israel, sembilan di Amerika Syarikat serta sebilangan kecil yang turut dikesan di Denmark, Ireland, Belanda, Itali, Norway, Perancis, Romania dan Belgium. 

Antara pesakit yang dijangkiti ialah seorang kanak-kanak yang dilaporkan telah meninggal dunia dan 17 lain yang memerlukan pembedahan pemindahan hati, demikian menurut kenyataan akhbar WHO.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui agen penyebabnya walaupun adenovirus adalah hipotesis awal yang dikemukakan,’’ kata WHO.

Hepatitis selalunya berlaku disebabkan oleh virus dan adenovirus iaitu sejenis virus biasa yang disebarkan oleh manusia serta boleh menyebabkan kesan ringan dan teruk. Namun, ia jarang menjangkiti orang yang sihat sehingga menyebabkan kesan teruk.

Tambah WHO, sindrom klinikal dalam kalangan pesakit adalah berkaitan keradangan hati apabila enzim dalam organ itu meningkat dengan ketara. 

Kebanyakan kes melaporkan gejala gastrousus seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah yang merujuk kepada tahap radang hati yang teruk, serta peningkatan enzim dalam hati atau alanine aminotransaminase dan demam kuning.

Khamis lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengeluarkan saranan kesihatan yang memberi amaran kepada petugas kesihatan dan pihak perkuasa kesihatan awam mengenai siasatan berkenaan kes hepatitis akut dengan punca yang tidak diketahui. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI