fbpx
GADIS kelahiran Kelantan ini bercita-cita menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti.

Gadis Kampus: Farra Hayani berniaga bazar timba pengalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYAMBUT Ramadan di kolej kediaman merupakan momen terindah buat pemilik nama Farra Hayani Mohd. Tarmizi, 21, apabila berpeluang berniaga bersama rakan-rakan di bazar dan fakulti.

Mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Inovasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sifat keusahawanan nyata terserlah dalam dirinya apabila mengambil kesempatan menimba pengalaman berniaga di dua lokasi berbeza iaitu di bazar Ramadan dan di fakulti sepanjang bulan mulia ini.

“Setiap hari kami bergilir-gilir menjaga kedai di dua lokasi itu dan akan berbuka bersama-sama memandangkan mula berniaga dari pukul 3 petang hingga 7 malam.

“Penat yang dirasai memang sukar digambarkan, tetapi kenangan itu semestinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Berniaga dari petang sehingga tibanya waktu berbuka dan mengemas semula barang-barang jualan memberikan cabaran tersendiri buat saya,” katanya yang juga minat memasak dan membuat kuih.

Bukan sekadar bazar Ramadan, anak kelahiran Kampung Padang, Temangan, Machang, Kelantan ini pernah menguruskan satu perniagaan iaitu BUDI Cafe sebelum ini.

Terlibat secara langsung menjual makanan di bulan Ramadan, anak sulung daripada tiga beradik ini begitu peka dengan isu semasa melibatkan penjual dan pembeli.

Lebih-lebih lagi apabila ada sahaja isu yang sama berlaku hampir setiap tahun. Terkini, isu melibatkan pengguna terjumpa ulat di dalam mi goreng, roti john yang digantikan dengan baked beans dan inti roti bomboloni yang terlalu sedikit.

Begitupun, gadis ini tidak meletakkan kesalahan pada satu-satu pihak sahaja.

FARRA berhasrat membantu golongan memerlukan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Sebaliknya, menurut gadis yang mesra disapa Farra ini, kedua-dua pihak bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

“Bagi saya, isu sebegini kadangkala berlaku disebabkan oleh kecuaian peniaga sendiri, tetapi tidak dinafikan ada segelintir peniaga yang tidak boleh menerima teguran kerana berasakan hanya mereka sahaja yang betul.

“Netizen yang viralkan itu pula tidak sepatutnya bertindak begitu kerana ia boleh memburukkan imej kedai tersebut. Seeloknya, tegurlah secara bersemuka sebelum menyebarkannya di media sosial,” ujarnya.

Mahu bergelar seorang ahli perniagaan dan membuka butik pakaian lelaki dan wanita suatu hari nanti, Farra nekad untuk mengaplikasikan setiap apa yang dipelajarinya dalam perniagaan yang bakal dijalankannya pada masa akan datang.

Bukan sahaja kerana meminati bidang tersebut, hasrat itu juga dilakukan kerana mahu memberi peluang pekerjaan untuk golongan memerlukan, pada masa sama membantu meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka.

Merupakan Exco Sukan Kelab Keusahawanan dan Inovasi di universiti terbabit, Farra turut memegang jawatan sebagai Exco Pembangunan Usahawan Muda bagi Rakan Siswa Yadim Kelantan.

Baru-baru ini, gadis ini memenangi anugerah kumpulan terbaik dalam program Young Aspiring Leaders & Entrepreneurs (YALE) anjuran Women Leadership Foundation yang disertainya.

Menjadikan pengasas dan Pengarah Urusan Hyrax Oil Sdn. Bhd., Datuk Hazimah Zainuddin yang juga merupakan Timbalan Presiden I Women Leadership Foundation sebagai idolanya, Farra begitu tertarik dengan keberanian dan kesungguhan wanita itu memulakan perniagaan yang bukan bidangnya.

“Beliau berani memasuki bidang yang selama ini dimonopoli oleh lelaki dan sanggup berhenti kerja hanya untuk memulakan perniagaan tersebut.

“Saya ingin menjadi seperti beliau kerana keberaniannya mencuba perkara baharu, selain memiliki hati kental.

“Dia juga tidak ambil peduli tentang apa yang diperkatakan orang tentang dirinya serta seorang yang rendah hati dan sangat baik,” ujarnya.

POPULAR