fbpx

SOP selam skuba di Mersing perlu lebih ketat – Sultan Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim menitahkan SOP aktiviti selam skuba di Mersing perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kejadian penyelam hilang tidak berulang.

MERSING – Penyediaan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti selam skuba di Mersing perlu lebih ketat dengan menitikberatkan pelbagai aspek penting sebelum dikuatkuasakan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, penguatkuasaan SOP itu perlu memastikan perkara seperti lesen menyelam sah, rekod penyelenggaraan peralatan, rekod laporan terkini perubatan penyelam, insurans serta buku catatan rekod penyelam yang sentiasa dikemas kini.

“Saya meneliti dan memperhalusi setiap SOP berkaitan aktiviti selam skuba yang disediakan Pejabat Daerah Mersing dan Majlis Daerah Mersing bersama beberapa jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.

“Saya juga telah bertitah beberapa perkara penting berkaitan aktiviti selam skuba dan turut menitahkan Pegawai Daerah Mersing supaya melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Persatuan Selam Skuba Malaysia,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Mohammed Shakib Ali di Istana Flinstones, di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Mohammad Shakib turut mempersembahkan kepada baginda mengenai SOP aktiviti selam skuba dan ‘Island Hopping’ di Mersing.

Sementara itu, Mohammad Shakib berkata, Sultan Johor berkenan untuk mempengerusikan satu mesyuarat bersama wakil jabatan, agensi penguatkuasaan serta persatuan selam skuba dalam tempoh terdekat dalam memperhalusi setiap SOP sebelum dikuatkuasakan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI