fbpx

Dapat duit KWSP, jangan lupa bayar hutang kawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PENGGUNA mempunyai hak untuk membuat pilihan. Kuasa beli terletak pada pengguna sama ada ingin mendapatkan barangan berkualiti, harga paling minimum serta terjamin.

Menang membeli, alah memakai. Itu perkara yang biasa kita baca atau dengar berkaitan nasihat-nasihat kepenggunaan. Ini juga berkaitan ilmu asas ekonomi iaitu permintaan dan penawaran.

Penentu-penentu permintaan selain harga barang itu sendiri, harga barang lain, pendapatan, jangkaan masa depan, musim dan bilangan penduduk adalah cita rasa pengguna.

Trend pengguna di Malaysia pula kuat dipengaruhi cita rasa. Jika tidak takkan ramai sanggup beratur panjang, berjam-jam, berpanas berhujan untuk membeli nasi arab Cef Ammar.

Ini satu contoh mudah cita rasa pengguna membawa pengaruh kuat terhadap permintaan barangan. Harga barang ‘belakang kira’ janji dapat penuhi keinginan. Janji sedap!

Bermula Isnin lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula mengagihkan wang Pengeluaran Khas kepada kira-kira 5.3 juta pemohon membabitkan dana bernilai RM40.1 bilion secara berperingkat.

Ada yang sudah tersenyum lebar menerima pembayaran RM10,000 secara one-off. Mereka yang belum terima pula tak putus-putus memeriksa akaun masing-masing. Tapak tangan kanan sudah mula gatal.

Sebelum ini, pelbagai pengumuman bantuan khas Aidilfitri dibuat baik kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri kepada penjawat awam dan pesara.

Majikan juga turut tidak ketinggalan memberi duit raya kepada staf masing-masing.

Peniaga-peniaga bazar raya sudah kena ‘jackpot’. Lihat sahaja lokasi tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan TAR, berbondong-bondong orang ramai membuat persiapan Syawal.

Maka permintaan terhadap baju-baju raya pun bertambah. Macam biasa orang Malaysia memang suka beratur. Tular pula depan premis menjual pakaian raya dengan orang ramai beratur berjam-jam.

Cuma penulis sedikit terkilan apabila dalam kalangan mereka yang ghairah berbelanja ini ada seorang dua yang zalim. Sudah dapat wang KWSP serta bantuan raya lunaskanlah dahulu hutang dengan rakan-rakan.

Dalam seminggu dua ini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita gembira. Mereka yang mampu wajib keluarkan/membayar zakat fitrah. Hutang juga wajib dibayar.

Hantaran di media sosial bukan main pamer makan sedap-sedap, pakaian mahal-mahal tetapi culas dan liat bayar hutang. Orang yang beri hutang pula jadi segan untuk menuntut hak mereka.

Dalam riwayat al-Bukhari, sabda Rasulullah SAW: Penundaan orang yang mampu (untuk membayar hutang), adalah perbuatan zalim. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI