fbpx

Rusia tingkatkan ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat pengebom Tupolev Tu-160 dirakam terbang dengan diiringi lima pesawat lain. – East2West News

MOSCOW – Sebuah pesawat pengebom yang berupaya melancarkan serangan nuklear dikesan terbang di wilayah barat Rusia berhampiran dengan sempadan Ukraine, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Pesawat pengebom jenis Tupolev Tu-160 itu dirakam di ruang udara dengan diiringi oleh sebuah pesawat pengisi bahan api, Ilyushin Il-78 serta empat jet pejuang Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia dilaporkan enggan mendedahkan tujuan misi tersebut, namun ia didakwa dilakukan bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan Moscow.

Tindakan terbaharu itu juga diambil selepas sebuah kapal perang utama Rusia di Laut Hitam, Moskva, musnah dan tenggelam selepas didakwa terkena bedilan peluru berpandu tentera Ukraine. 

Pada Februari lalu, pesawat pengebom Tupolev Tu-160  yang digelar ‘White Swan’ itu telah melancarkan peluru berpandu terhadap sasaran di Ukraine ketika perang bermula. 

Pengebom sayap berhayun gergasi itu merupakan pesawat tempur terbesar yang beroperasi buat masa ini.

Ia berkeupayaan membawa muatan sebanyak 12 peluru berpandu nuklear pada dua kali ganda kelajuan bunyi.

White Swan yang membawa senjata konvensional pernah digunakan untuk melancarkan serangan di Syria. Pesawat yang mempunyai jarak penerbangan  sejauh 12,070 kilometer itu membedil peluru berpandu dan meratakan bandar-bandar yang dikuasai oleh tentera  anti- Bashar Al-Assad.

Ia juga digunakan untuk menggugurkan bom udara yang digelar sebagai ‘Bapa Semua Bom’ dalam satu ujian senjata yang dilakukan oleh Moscow pada 11 September 2007.

Senjata temobarik itu akan menjadi pilihan utama bagi Putin. Presiden Rusia itu dikatakan terdesak untuk melemahkan semangat juang tentera Ukraine, namun beliau dilaporkan mempunyai alasan kukuh untuk tidak menggunakan senjata nuklear.

“Rusia bercakap besar dengan mendakwa bahawa mereka boleh menggunakan senjata nuklear untuk memusnahkan bukan sahaja negara,bahkan seluruh planet ini,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

Seorang pakar dari sebuah kumpulan berita siasatan bagaimanapun menyatakan, Putin bimbang akan malu besar sekiranya komander-komander perang Rusia enggan mematuhi arahannya untuk melancarkan serangan nuklear.

“Putin tidak akan memberikan arahan untuk menggunakan senjata nuklear kerana beliau sedar bahawa sebahagian besar pegawainya enggan menuruti perintah tersebut.

“Pegawai Kremlin belum bersedia untuk melaksanakan perintah itu,” kata pakar daripada agensi Bellingcat, Christo Grozev kepada Badan Penyiaran British (BBC).

Grozev berkata, keraguan itu akan mengurangkan risiko bahawa Putin bakal membuat keputusan mengejut untuk menggunakan senjata nuklear. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI