fbpx

MOT arah siasat isu tambang penerbangan naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan diarahkan segera menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu telah dinyatakan dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh beliau semalam bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat.

“Saya mendengar dan memahami keluhan orang ramai terutamanya pengguna pengangkutan udara mengenai peningkatan harga tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak seperti yang dilaporkan media dan akan menyiasat kesahihan aduan yang dilaporkan.

“Pemantauan MAVCOM mendapati, harga tambang penerbangan pada 30 April ini yang merupakan tarikh perjalanan puncak bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri telah meningkat berbanding purata harga tambang penerbangan pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, peningkatan itu adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutamanya kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

“Mekanisme penetapan harga dinamik juga adalah menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam proses menentukan harga tambang dan bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik Covid-19 malah pesawat-pesawat perlu diselenggara, dibaiki dan baik pulih sebelum diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, syarikat penerbangan terpaksa menyimpan pesawat mereka ketika sekatan pergerakan dikuatkuasakan dan setelah memasuki fasa peralihan ke endemik mereka akan memerlukan lebih banyak masa juga alat gantian untuk kesiap-siagaan beroperasi semula.

“Bagi April 2022, kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak masih rendah iaitu hanya pada tahap 68.0 peratus berbanding tahun 2019,” ujar beliau.

Ka Siong berkata, penetapan tambang penerbangan domestik oleh syarikat-syarikat penerbangan negara adalah berdasarkan kepada rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada tahun 2006.

“Dalam hal ini Jemaah Menteri ketika itu telah memutuskan bahawa syarikat penerbangan negara yang menyediakan perkhidmatan udara domestik diberi kebebasan dalam menentukan liputan rangkaian, kekerapan penerbangan dan kadar tambang berdasarkan permintaan pasaran.

“Ia adalah selaras dengan amalan sebahagian besar negara-negara lain yang tidak mengawal harga tambang penerbangan bagi laluan antarabangsa atau domestik. Walaupun harga siling dapat menurunkan tambang penerbangan pada musim puncak, ia akan menyebabkan kenaikan harga tambang penerbangan ketika musim biasa,” jelasnya.

Tambah beliau, MAVCOM dan Pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.

“CAAM telahpun meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang memerlukan yang akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan.

“Kami komited dan akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat. Kementerian ini melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan semua syarikat penerbangan dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI