fbpx

Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan 2022, PTPTN tawar hadiah hampir RM160,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan 2022 akan berlangsung bermula hari ini sehingga 31 Mei 2022.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM160,000 untuk 308 pemenang menerusi Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan 2022.

PTPTN dalam satu kenyataan hari ini berkata, hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah TV pintar berukuran 50 inci dan resolusi 4K UHD kepada seorang penerima bagi 14 negeri di Malaysia.

“Kempen ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana memilih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai pilihan utama untuk simpanan semasa musim perayaan.

“Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan 2022 pada kali ini dianjurkan di peringkat negeri dan terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, tempoh kempen akan berlangsung bermula hari ini sehingga 31 Mei 2022.

Sementara itu, untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuat simpanan bersih serendah RM50 dalam tempoh kempen dan akan layak mendapat satu cabutan secara automatik.

“Pendeposit perlu memastikan akaun kekal aktif (akaun tidak ditutup) dan tidak membuat pengeluaran sepanjang tempoh pengekalan bermula 1 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2022 daripada mana-mana akaun yang didepositkan dalam tempoh kempen.

“Pendeposit Simpan SSPN juga berpeluang menikmati keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, simpanan dijamin kerajaan, dividen yang kompetitif dan patuh syariah,” ujarnya.

Lebih menarik, Simpan SSPN Plus turut menawarkan manfaat tambahan seperti perlindungan takaful yang komprehensif sehingga RM1.2 juta dan khairat kematian bagi pendeposit, pasangan dan lima orang anak.

“Manakala Simpan SSPN Prime pula menawarkan Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga berpendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000 sebulan dan anak diterima dan mendaftar masuk ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya lagi.

Sehubungan itu, PTPTN berharap dengan pelaksanaan kempen ini dapat menyuntik motivasi masyarakat terutamanya ibu bapa untuk meningkatkan budaya menabung dengan menyimpan duit raya anak-anak dalam akaun Simpan SSPN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI