fbpx

Yayasan Akalbudi tidak diguna untuk tujuan peribadi – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk tujuan peribadinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri sebaliknya berkata, beliau yang bertanggungjawab menanggung perbelanjaan badan amal itu sejak awal penubuhannya pada 1997.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sebahagian besar pendapatannya ketika berkhidmat dalam dunia korporat sekitar tahun 90-an, disalurkan untuk kegunaan yayasan itu bagi melaksanakan aktiviti kebajikan termasuk sedekah, infak, wakaf dan amal jariah.

Ujarnya, daripada pendapatan berjumlah RM120,000 sebulan (ketika itu) termasuk gaji, elaun dan bonus daripada lima buah syarikat, beliau hanya menggunakan kira-kira RM40,000 untuk kegunaan sendiri dan keluarga manakala selebihnya disalurkan ke dalam yayasan itu.

Beliau berkata, sewaktu berkhidmat dalam kerajaan, pendapatannya mencecah RM50,000 sebulan manakala simpanannya kini melebihi RM2 juta dalam akaun simpanan di Bank Islam.

Ahmad Zahid, 69, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri membacakan pernyataan bertulisnya ketika memberi keterangan dari kandang saksi pada hari pertama perbicaraan.

Prosiding pemeriksaan utama dikendalikan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI