fbpx

Polis rampas stok mercun, bunga api bernilai RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mercun dan bunga api bernilai RM20,000 yang ditinggalkan dalam sebuah kereta di jalan Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas, Kelantan hari ini.

PASIR MAS – Seorang lelaki bertindak meninggalkan kereta dipandunya yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api bernilai RM20,000 selepas dikejar polis sejauh 10 kilometer di simpang tiga Batu Karang, Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, polis menemui kereta Toyota Camry yang ditinggalkan suspek di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, sebelum itu, anggota polis melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan.

Menurutnya, anggota kemudian mengejar kereta itu sebelum mengarahkan pemandunya untuk berhenti.

“Suspek tidak mengendahkan arahan itu dan terus bertindak memecut laju kereta dipandunya sejauh 10 kilometer sebelum berhenti secara mengejut di tepi jalan.

“Pemandu kereta kemudian lari ke dalam kawasan semak berhampiran. Anggota polis cuba mengesan suspek, namun lelaki itu hilang tanpa jejak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasaruddin, selepas 30 minit menunggu, tiada individu yang tampil menuntut kereta yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api itu.

Ujarnya, kereta dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI