fbpx

Mikroplastik ditemui dalam paru-paru manusia hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIKROPLASTIK adalah cebisan plastik berukuran kurang daripada 5 milimeter dan ada yang sangat halus sehingga tidak dapat dilihat dengan menggunakan mata kasar. - Google

LONDON – Mikroplastik ditemui di dalam paru-paru manusia yang masih  hidup untuk kali pertama sekali gus membuktikan bahawa kita menghirupnya dari udara, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Pasukan penyelidik  Universiti  Hull dan Sekolah Perubatan Hull York mendapati bahawa mikro plastik iaitu cebisan plastik halus berukuran kurang daripada 5 milimeter, berada  di dalam bahagian paru-paru paling dalam.

Perkara itu sebelum ini dianggap mustahil kerana salur udara yang begitu sempit.

Walaupun partikel plastik telah ditemui dalam sampel mayat manusia sebelum ini, ini adalah kali pertama ia ditemui di dalam paru-paru manusia yang masih hidup.

Kajian itu disiarkan tidak lama selepas partikel mikroplastik ditemui buat kali pertama di dalam darah manusia, menyerlahkan betapa meluasnya pencemaran  zarah plastik di dalam tubuh manusia.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science of the Total Environment itu mendapati terdapat 39 mikroplastik dalam 11 daripada 13 sampel tisu paru-paru yang diuji, Angka tersebut adalah  jauh lebih tinggi daripada ujian makmal sebelumnya.

“Mikroplastik telah ditemui dalam sampel mayat manusia sebelum ini. Namun, ini kajian pertama menunjukkan bahawa mikroplastik berada di dalam paru-paru manusia yang masih hidup.

“Partikel pencemaran ini berada pada bahagian bawah paru-paru. Salur paru-paru sangat sempit jadi tiada siapa menyangka ia  boleh sampai ke sana tetapi pencemaran itu nyata berlaku,” kata penulis utama kajian itu, Laura Sadofsky

Kajian itu menyusuli  penyelidikan yang diterbitkan pada Mac lalu oleh Universiti Hull dan Sekolah Perubatan Hull York. Dalam kajian selama setahun itu, saintis-saintis merekodkan paras mikroplastik dalam atmosfera yang tinggi di sebuah lokasi berhampiran  jalan raya yang sibuk di utara England.

Penyelidik-penyelidik mendapati mikroplastik yang paling banyak di alam sekitar adalah polietilena yang antaranya,  berasal daripada pembungkusan plastik terdegradasi atau beg plastik, nilon dan resin. 

Manusia boleh terdedah kepada partikel plastik menerusi pengambilan makanan laut dan makanan lain selain air minuman serta udara. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI