fbpx
SIKAP Siti yang enggan berenggang dengan Azwa membuatkan Azwa rimas. – GAMBAR HIASAN

Dicintai, digilai teman serumah ‘psiko’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANDAI boleh diputar balik masa, Azwa (bukan nama sebenar) enggan menerima pelawaan menjadi teman serumah Siti (bukan nama sebenar) kerana tidak menyangka gadis itu jatuh hati kepadanya.

Siti yang merupakan rakan kepada seorang teman baik Azwa sewaktu zaman kolej rupanya sukakan kaum sejenis dan tergila-gilakan Azwa.

Mengimbau kembali, Azwa berkata, selepas tamat pengajian dalam bidang pemasaran, dia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota pada tahun 2015.

“Saya mula mencari rumah sewa dan diperkenalkan dengan Siti oleh seorang rakan baik saya, Shila (bukan nama sebenar).

“Memandangkan Siti juga sedang mencari teman serumah selepas teman serumahnya berpindah keluar kerana mendirikan rumah tangga, saya terus bersetuju untuk menggantikan tempat gadis itu.

“Lalu, bermulalah kisah kami sebagai teman serumah di sebuah pangsapuri di ibu kota,” ujar Azwa.

Semuanya berjalan seperti biasa dan Azwa pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik pada teman serumahnya itu.

Namun, selepas beberapa bulan tinggal bersama, Azwa mula menyedari bahawa Siti gemar membelikan dia barangan sama ada baju, aksesori atau perkakas rumah, sama seperti yang dimilikinya.

“Siti merupakan anak orang berada dan diterima bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang besar.

“Oleh itu, dia cukup suka membeli- belah dan setiap kali membeli barangan keperluannya, dia pasti akan membelikan barang yang sama buat saya, katanya untuk nampak sepadan,” jelas Azwa.

Tidak lama kemudian, Siti mulai menunjukkan sikap panas baran dan gemar merajuk, lebih-lebih lagi apabila Azwa tidak membalas atau mengambil masa yang lama untuk membalas mesejnya.

Menurut Azwa, hal itu disebabkan dirinya mulai kerap menghabiskan masa dengan teman sepejabat yang juga teman lelakinya. Perkara itu seolah-olah tidak disenangi Siti.

“Siti kerap bertanya mengapa saya kerap pulang lewat dan mengapa saya ‘sering mengabaikannya’ apabila tidak membalas pesanan WhatsApp yang dihantarnya.

“Saya mulai bingung, namun ketika itu saya hanya menganggap Siti umpama seorang kakak yang bimbangkan keselamatan adiknya,” ujar Azwa.

Namun, sikap Siti semakin menjadi-jadi apabila dia bertindak merosakkan kenderaan Azwa supaya gadis itu ‘bergantung’ harap kepadanya untuk ke tempat kerja.

“Siti telah memancitkan tayar dan merosakkan cermin sisi kereta saya, namun tidak mengakuinya.

“Dia sengaja berbuat begitu kerana mahu saya menumpang kenderaannya untuk pergi ke pejabat,” kata Azwa yang sudah mulai berang dengan sikap teman serumahnya itu.

Rimas keadaan itu, Azwa mula menjauhkan diri daripada Siti dan kerap memberikan alasan terpaksa kerja lebih masa kerana enggan menghabiskan masa dengan Siti.

Pada hujung minggu pula, Azwa kerap tidur di rumah kakaknya yang terletak tidak begitu jauh dari rumah sewanya itu.

Siti yang menyedari perubahan sikap Azwa mulai bertindak semakin agresif dan menggunakan agama untuk mengugut Azwa.

“Siti mengugut saya dan mengatakan saya telah melakukan dosa besar kerana cuba memutuskan silaturahim di antara kami dan saya akan menerima balasan atas dosa yang dilakukan.

“Oleh kerana tidak tahan dengan sikapnya, kami bertengkar besar. Malah, Siti turut mengugut untuk mengganggu rakan-rakan dan teman lelaki saya sekiranya saya berkeras untuk berpindah keluar dari rumah itu,” kata Azwa.

Bimbang diapa-apakan, Azwa mula bertenang dan melayan Siti seperti biasa, namun dalam masa yang sama, dia sudah pun berpakat dengan teman lelakinya untuk segera berpindah keluar dari kediaman itu.

Kebetulan, Siti terpaksa menghadiri satu seminar di Pantai Timur selama seminggu dan Azwa menggunakan peluang tersebut untuk melarikan diri dan memutuskan hubungan dengan Siti.

“Saya tinggal di rumah kakak buat sementara waktu sebelum mencari rumah sewa lain yang agak jauh daripada Siti, hanya kerana enggan terserempak lagi dengannya.

“Saya masih bekerja di syarikat yang sama, namun meminta Shila untuk memaklumkan bahawa saya sudah bertukar tempat kerja dan ternyata gadis itu mempercayainya dan tidak lagi mengganggu saya,” ujar Azwa.

POPULAR