fbpx

Penyakit tibi tak kenal usia, mudah berjangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Batuk yang berpanjangan antara tanda-tanda seseorang itu berhadapan dengan masalah tibi. – Gambar hiasan

PENYAKIT batuk kering atau tuberkulosis bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini, bahkan pernah menjadi ancaman besar kepada rakyat Malaysia suatu ketika dahulu.

Masalah itu disebabkan oleh organisma dikenali Mycobaterium tuberculosis atau lebih dikenali sebagai tibi.

Profesor Madya di Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nur Amani@Natasha Ahmad Tajuddin berkata, tibi merupakan punca kematian nombor satu di Malaysia pada tahun 1940-an dan 1950-an.

Menurutnya, pada tahun 2020, sebanyak 1.5 juta orang mati akibat jangkitan tibi di seluruh dunia, manakala di Malaysia, dilaporkan insiden jangkitan penyakit itu dianggarkan sebanyak 30,000 orang.

Katanya, di Malaysia pada 2018, negeri Selangor mencatatkan kes tibi tertinggi iaitu sebanyak 5,071 orang.

“Ini berikutan jumlah penduduk yang padat disertai faktor sosio ekonomi yang rendah di kawasan bandar.

“Ia diikuti negeri Sabah yang mencatatkan sebanyak 3,122 kes disebabkan banyak penduduk bukan warganegara tidak tampil untuk pengesanan awal kerana bimbang diambil tindakan undang-undang.

“Penyakit itu tidak mengenal usia dan mudah berjangkit, namun begitu terdapat rawatan yang terbukti berkesan serta vaksin untuk mencegah jangkitannya yang teruk iaitu BCG (Bacillus Calmette Guerin),” jelasnya.

Tambahnya, menurut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik, beberapa faktor dikaitkan dengan pertambahan bilangan pesakit tibi, antaranya kemiskinan, kekurangan penjagaan dan kemudahan perubatan, persekitaran serta gaya hidup tidak sihat seperti merokok.

Penyakit tibi mudah merebak dalam kalangan orang yang dijangkiti apabila tinggal atau berada bersama di satu-satu tempat untuk jangka masa tertentu, contohnya di tempat kerja atau asrama pekerja.

Ia merebak melalui udara, iaitu apabila seseorang batuk, bercakap atau menyanyi.

DR. NUR AMANI

Dr. Nur Amani menjelaskan, seseorang yang mempunyai jangkitan HIV adalah berisiko 18 kali ganda lebih tinggi untuk mengidap tibi.

Terangnya, risiko tinggi juga didapati dalam kalangan perokok iaitu 1.6 kali ganda dan pengambilan alkohol (3.3 kali ganda).

“Risiko jangkitan juga lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti yang rendah seperti pengambilan ubatan steroid, pesakit kanser, systemic lupus erythematosus (SLE), rheumatoid arthritis dan diabetes (kencing manis).

“Walaupun tibi paru-paru (pulmonary TB atau PTB) adalah sangat mudah berjangkit, namun perlu dinyatakan juga yang ia tidak merebak melalui perkongsian tandas, ciuman, makanan atau minuman, pakaian atau tempat tidur serta bersalaman,” jelasnya.

Ujarnya, apabila seseorang menyedut udara yang mengandungi bakteria tibi, barulah jangkitan akan berlaku dan ia akan terus merebak ke bahagian paru-paru.

Selain itu, penyakit ini juga boleh merebak ke bahagian anggota badan yang lain seperti tulang belakang, kelenjar limfa, otak, buah pinggang dan abdomen.

Namun demikian, pesakit tibi bahagian lain ini tidak mudah menjangkiti orang lain berbanding PTB.

Tanda-tanda seseorang dijangkiti PTB termasuklah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, batuk berdarah, dan batuk berkahak yang tidak sembuh setelah mengambil antibiotik.

Individu yang terjangkit juga mungkin berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, mengalami penurunan berat badan dan pernafasan yang terasa sakit di dada, terutamanya apabila menarik nafas dalam-dalam.

Antara tanda-tanda tibi pada bahagian anggota badan lain termasuklah demam, sakit perut atau cirit-birit berpanjangan, bengkak kelenjar di leher, sakit tulang belakang, kencing berdarah, jaundis iaitu kulit kekuningan dan sakit kepala yang tidak berhenti atau semakin teruk.

Sementara itu, Dr. Nur Amani berkata, cara untuk mengawal jangkitan adalah dengan mengelakkan pendedahan termasuk dengan menghindari tempat sesak, menghindari pesakit tibi sehingga mereka tidak lagi boleh menjangkiti orang lain dan memastikan sistem pengudaraan yang baik.

Menurutnya, apabila seseorang mempunyai tanda-tanda seperti yang dinyatakan, mereka perlu ke klinik kesihatan secepat mungkin untuk membuat ujian saringan.

“Antara ujian yang akan dilakukan adalah x-ray paru-paru, sampel kahak untuk calitan AFB (acid fast bacilli) atau doktor mungkin mengesyorkan ujian Mantoux (Tuberculin skin testing) jika didapati simptom tersebut kepada kanak-kanak.

“Seseorang yang dijangkiti tibi perlu memberitahu ahli keluarga terdekat atau pun rakan serumah atau sekerja untuk membuat saringan di klinik kerajaan atau swasta.

“Ini untuk membendung penyakit ini daripada merebak dengan lebih teruk, selain memulakan rawatan seawal mungkin sebelum bakteria tibi merebak ke anggota badan lain,” terangnya.

Rawatan tibi dilakukan secara bersemuka oleh doktor dan jururawat terlatih di klinik DOTS (Directly observed treatment) semasa fasa intensif.

Rawatan tibi di klinik DOTS telah pun terbukti berkesan menyembuhkan jangkitan, berbanding pengambilan ubat secara kendiri.

Kini, ubatan tibi yang perlu diambil adalah lebih mudah untuk pesakit berbanding zaman dahulu.

Kesan sampingan juga sentiasa diawasi oleh doktor dan jururawat dari semasa ke semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI