fbpx

Hampir separuh kehamilan dunia tidak diinginkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita hamil menerima nasihat daripada Dr. Dulce Chain di Pusat Poliklinik Nasional Rinconcito, Rinconcito, Elías Piña, Republik Dominican. – UNFPA/AFP

NEW YORK – Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menyatakan kelmarin bahawa hampir separuh daripada semua kehamilan di dunia adalah tidak diinginkan, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Menerusi laporan baharunya, UNFPA menyatakan, daripada 121 juta kehamilan tidak diinginkan yang berlaku setiap tahun, lebih 60 peratus berakhir dengan pengguguran. 

UNFPA menyatakan, laporannya adalah bukan mengenai ‘bayi tidak diinginkan’ tetapi bagaimana kombinasi faktor seperti ketidaksetaraan gender, kemiskinan, keganasan seksual dan kekurangan akses kepada kaedah pencegah kehamilan menafikan hak wanita untuk hamil atau sebaliknya.

Perang di Ukraine dan konflik lain dijangka memacu bilangan kehamilan tidak diinginkan menjadi lebih tinggi dengan keganasan seksual turut meningkat, manakala akses kepada kaedah pencegah kehamilan pula terganggu, kata laporan berkenaan.

“Kami telah mendengar cerita daripada wanita-wanita mengandung yang sedar bahawa mereka tidak mempunyai makanan mencukupi untuk menyokong kehamilan mereka.

“Terdapat juga pemangsa dan penyeludup manusia yang mengambil peluang daripada perang yang berlaku untuk menyasarkan wanita dan gadis,’’ kata pengarah eksekutif UNFPA, Natalia Kanem kepada agensi berita AFP.

Tambah Kanem, kajian menganggarkan lebih 20 peratus wanita pelarian di seluruh dunia menjadi mangsa keganasan seksual dan beliau yakin jenayah itu kurang dilaporkan kerana terdapat banyak stigma mengenainya.

Walaupun data sukar diperoleh disebabkan perang Ukraine baru mencecah usia sebulan, katanya, konflik di Afghanistan dijangka membawa kepada 4.8 juta kehamilan yang tidak diinginkan  menjelang 2025.

Pandemik Covid-19 pula didakwa sangat mengganggu bekalan pil pencegah kehamilan yang membawa kepada sehingga 1.4 juta kehamilan  tidak diingini pada tahun pertama penularan konoravirus, kata UNFPA. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI