fbpx
Anggota polis mengiringi Muhammad Nasution (tengah) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - FOTO: ZULHANIFA SIDEK

Guru didakwa lapan tuduhan kesalahan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang guru Sains dan Matematik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual dan kelucahan melampau terhadap seorang pelajar lelaki sejak mangsa masih di bawah umur pada 2014 hingga 2021.

Tertuduh, Muhammad Nasution Noh, 49, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merangsang mangsa berusia 12 tahun ketika kejadian untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya.

Kesalahan itu dilakukan di perumahan guru di sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Krai kira-kira pukul 5 pagi, 24 November 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama.

Kesalahan itu dilakukan di perumahan guru yang sama dan sebuah rumah pada pukul 11 malam hingga 3 petang antara 11 Mac 2016 hingga April 2021.

Muhammad Nasution didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh juga didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa sama di sebuah rumah di Bachok pada pukul 3 pagi, 6 November 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hassan.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan serius dan memohon semua pertuduhan dibicara secara bersama kerana ia melibatkan tertuduh, mangsa dan saksi yang sama.

Muhammad Hasif dalam rayuannya memohon tertuduh diberi jaminan minimum kerana mempunyai seorang isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM5,000 sebulan. Anak guam saya juga tidak akan mengganggu mangsa dan saksi kes.

“Selain itu, tertuduh juga tidak akan melarikan diri kerana tinggal dan bekerja di Kota Bharu,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

POPULAR