fbpx

Bencana menanti dari Chernobyl

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tindakan tentera Rusia mencetuskan risiko kerosakan pada struktur pembendungan yang dibina di sekitar reaktor keempat loji. – The Mega Agency

KIEV, Ukraine – Peningkatan kadar radiasi loji nuklear Chernobyl akibat kebakaran hutan di kawasan sekitarnya susulan serangan berterusan oleh tentera Rusia berisiko mengancam berjuta-juta penduduk Eropah.

Menurut akhbar The Sun kelmarin, kira-kira 31 kebakaran hutan dilaporkan di zon pengecualian Chernobyl dengan pegawai-pegawai Ukraine memberi amaran, radiasi boleh merebak ke seluruh rantau Eropah, seterusnya memberi kesan kepada seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk menuduh Moscow sebagai melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab di sekitar loji nuklear Chernobyl. Loji tersebut kini dikuasai oleh tentera Kremlin. 

Justeru, beliau menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghantar misi penilaian risiko ke kawasan tersebut.

Menurutnya, tentera Rusia melakukan aktiviti ketenteraan di zon pengecualian sekitar loji Chernobyl yang menjadi lokasi bencana nuklear paling buruk dunia pada tahun 1986.

“Tentera Rusia membawa masuk sejumlah besar senjata lama yang tidak diselenggara dengan baik. Ini meningkatkan risiko kerosakan struktur pembendungan yang dibina di sekitar reaktor nuklear keempat yang rosak,” ujarnya.

Tambah Vereshchuk, askar Kremlin juga menghalang anggota-anggota  bomba daripada  mengawal sebahagian besar kebakaran di zon tersebut.

“Dari sudut keselamatan nuklear, tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak profesional tentera Rusia telah mencetuskan ancaman amat serius bukan sahaja  kepada penduduk Ukraine, malah ratusan juta warga Eropah.

“Justeru, kami meminta Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan langkah segera bagi menghapuskan aktiviti ketenteraan di zon pengecualian sekitar loji Chernobyl.

“Kami juga menggesa PBB untuk menjalankan misi khas bagi menghapuskan sebarang risiko berulangnya kembali bencana nuklear  akibat daripada tindakan tentera Rusia,” kata Vereshchuk.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Lyudmila Denisova memberi amaran bahawa peningkatan pencemaran udara akibat kesan radioaktif boleh mengancam negara-negara jiran.

“Amat sukar untuk kita mengawal kebakaran di sekitar Chernobyl kerana zon pengecualian telah ditawan oleh tentera Rusia.

“Disebabkan kebakaran, radionuklid dibebaskan ke atmosfera yang kemudiannya disebarkan pada jarak jauh oleh angin. Ini akan memberi ancaman kepada Ukraine, Belarus dan negara-negara Eropah lain,” kata Denisova.

Dalam pada itu, laporan turut menyebut bahawa kebakaran hutan berhampiran Chernobyl juga boleh memusnahkan kemudahan penyimpanan bahan api nuklear dan sisa nuklear.

Cuaca kering dan berangin pula akan meluaskan lagi kawasan kebakaran.

Moscow bagaimanapun menafikan  tenteranya menyebabkan fasiliti nuklear di Ukraine itu berada dalam keadaan berisiko. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI