fbpx

TLDM mahu projek LCS diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Reza (kanan) ketika ditemui pemberita pada Pameran dan Persidangan DSA 2022 dan NATSEC di MITEC hari ini.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan projek perolehan enam buah kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang tergendala perlu diteruskan berikutan keperluan terhadap kapal-kapal itu.

Panglimanya, Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, kerajaan perlu membuat keputusan berkenaan projek tersebut secepat mungkin.

“LCS sebagai mana kita tahu, syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) ada masalah sedikit, namun kita harap kerajaan buat keputusan sebelum hujung bulan ini sama ada mahu meneruskan projek ini atau sebaliknya.

“Ini kerana TLDM berpandangan projek berkenaan perlu diteruskan kerana dah lama sangat kita tunggu,” katanya ketika ditemui di Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dekat sini hari ini.

Sebelum ini, pada 25 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang disyaki terbabit dalam kontrak perolehan enam LCS.

Menurut SPRM, kedua-dua individu itu ditahan selepas disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Bagaimanapun, hingga kini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada TLDM, walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI