fbpx

Pembukaan sempadan: Semua kelas kenderaan perkhidmatan awam Malaysia-Singapura dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan di antara Malaysia ke Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April, selaras pengumuman pembukaan sempadan darat antara kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kedua-dua negara akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

“Kebenaran ini terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.

“Oleh yang demikian, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dalam negara yang berkaitan boleh membuat persiapan ke arah memulakan semula operasi mereka.

“Ia termasuk memperbaharui semua permit atau lesen yang berkaitan, sama ada dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau dengan pihak berkuasa di Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula kepada orang ramai.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator yang berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan untuk mematuhi semua Garis Panduan (SOP) kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI