fbpx
SEHINGGA kini, Zul dan penerbit drama Perempuan Itu, Erma Fataima telah dipanggil untuk siasatan lanjut.

Jangan ‘lacurkan’ agama, budaya demi rating, tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DISANGKA panas tetapi hujan di tengah hari. Peribahasa tersebut boleh dikatakan sesuai menggambarkan situasi yang dilalui aktor terkenal, Zul Ariffin saat dia memuat naik klip adegan panas lakonan bersama Siti Hariesa pada 18 Mac lalu.

Bertalu-talu kecaman, berbakul-bakul makian dan tidak kurang juga bertimpa-timpa kutukan dihumbankan ke mukanya.

Tindakan Zul turut mendapat teguran ramai pihak seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Itulah yang dihadapi Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin sejak lebih seminggu lalu. Tidak cukup dengan itu, namanya turut sohor kini dalam Twitter selama tiga hari berturut-turut dek video persis naskhah porno tersebut.

Perdebatan demi perdebatan, kesanggupan pelakon dan tentang keghairahan golongan selebriti mahupun karyawan mempromosikan produk dengan cara tular, seperti yang dilakukan produksi Perempuan Itu sukar dihentikan.

Melanggar etika dan tidak menghormati agama antara komen yang diberikan orang ramai berkenaan isu tersebut.

Bagaimanapun, usaha Zul yang mengambil pendekatan memohon maaf secara terbuka juga harus dipuji selepas diasak jutaan kecaman orang ramai.

Selain permohonan maaf, dia turut mengemas kini beberapa perkara lain seperti memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung isu video tersebut.

Pilihan, peringatan

Segelintir selebriti berpendapat babak tersebut merupakan satu tindakan satu bentuk pilihan.

Memilih untuk melakonkan babak tersebut dan memuat naik dalam media sosial untuk tontonan umum, boleh diibaratkan seperti menggali lubang untuk tanam diri sendiri.

Begitulah pendapat yang dilemparkan pelakon senior, Didie Alias mengenai isu tersebut.

Baginya, babak sebegitu sangat melanggar etika dan adat serta budaya negara ini.

Turut memberi pandangan peribadi, penyanyi dan pelakon, Awie berpendapat lakonan tersebut merupakan pilihan Zul sendiri dan dia harus menanggung akibat daripada perbuatan tersebut.

“Benda boleh menolak, tetapi dia (Zul Ariffin) memilih sedap. Pada saya dia menconteng arang ke muka industri yang berkonsepkan islamik,” ulas pelantun lagu Ratuku itu.

Biarpun ada yang mengkritik, masih terdapat rakan selebriti meminta orang ramai berhenti menabur kecaman terhadap Zul kerana risau setiap kata-kata buruk itu terpercik ke muka sendiri.

“Memang salah, cuma sebagai orang Islam, kita patut memperbanyakkan berdoa supaya dia sedar, berbanding terus mengecamnya seperti tiada hari esok atau seperti kita maksum.

“Sebenarnya kita juga kena buang sifat iblis apabila terlalu merasakan cuma diri lebih bagus sehingga anggup melemparkan pelbagai kata nista ketika insan lain sedang diuji Tuhan,” ujar pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad.

Gimik drama?

Sehingga hari ini, motif perkongsian video tersebut masih samar-samar dan tidak dijelaskan secara terperinci kepada umum.

Namun, tidak kiralah sebagai bahan promosi mahupun gimik, penerbit, pengarah dan pelakon, mahupun stesen televisyen, semua pihak harus sedar babak tersebut sememangnya melanggar norma budaya masyarakat negara ini.

Bukan soal fikiran sempit atau kolot, tetapi aksi ranjang dan babak berahi sebegitu masih ‘diharamkan’ untuk ditayangkan untuk tontonan umum di Malaysia.

Justeru, biarpun belum bernoktah, setiap penggiat seni kreatif harus lebih berhati-hati agar industri hiburan tanah air tidak lagi dipandang serong.

Tidak salah berkarya sepenuh jiwa tetapi haruslah kekal berpandukan adat dan budaya yang dipegang selama ini. Jangan sesekali lacurkan agama dan budaya hanya kerana mahukan secebis populariti dan impak tular yang tidak akan kekal lama.

POPULAR