BERBEKALKAN topi bulat di atas kepala dan sebuah baldi kecil, Lara Robertson berjalan turun ke pesisir pantai yang dipenuhi lumpur hitam serta air paras buku lali itu.
Wanita separuh abad itu melangkah menghampiri salah seekor daripada puluhan paus pilot yang terdampar di Pantai Selatan, New Zealand baru-baru ini.
Sambil menimba air laut untuk membasahi tubuh mamalia gergasi berwarna gelap itu, Robertson menyanyikan lagu The Water yang pernah dipopularkan oleh Johnny Flynn dan Laura Marling.
Dia mengharapkan bait-bait lirik dalam lagu bertemakan alam sekitar itu mampu menenangkan paus yang telah terkandas selama beberapa jam di kawasan Farewell Spit, Golden Bay itu.
Robertson yang merupakan seorang ahli fisioterapi dan penulis lagu ketika itu bercuti di Golden Bay bagi melawat rakannya sebelum mendapat perkhabaran mengenai fenomena paus terdampar di kawasan berkenaan.
“Saya fikir, perlu datang ke sini bagi membantu paus yang terdampar ini. Saya menghabiskan masa selama 10 jam untuk menolong haiwan ini supaya terus bernafas.
“Saya menenangkan paus-paus ini dengan menyanyi termasuk lagu Orcas Lake. Saya fikir ia lebih santai kepada paus ini daripada mendengar kami bercakap,” ceritanya lanjut.

Apabila air laut kembali pasang pada pukul 6 petang, paus-paus yang terdampar tadi dapat mengapungkan diri dan berenang kembali ke habitat asal. Malangnya, sembilan daripadanya telah disahkan mati.
“Kami menghabiskan masa di sini dengan menyiram badan paus sebelum air kembali pasang.
“Ia satu pengalaman yang sungguh menakjubkan berada bersama paus ini, terutamanya apabila air mulai pasang. Saya dapat rasakan degupan ‘jantungnya’,” katanya apabila berjaya membantu 40 paus terkandas di pantai berkenaan pada Februari lalu.
Terbaharu, sebanyak 34 ekor paus pilot terdampar di kawasan Farewell Spit, namun hanya lima ekor sahaja yang terselamat, manakala selebihnya mati.
Paus pilot merupakan spesies genus Globicephala yang boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu bersirip panjang (Globicephala melas) dan paus pilot bersirip pendek (Globicephala macrorhynchus).
Paus pilot bersirip panjang hidup di perairan lebih sejuk, manakala paus pilot bersirip pendek boleh ditemui di kawasan tropika dan subtropika.

Pengurus Project Jonah iaitu sebuah kumpulan sukarelawan tempatan, Daren Grober memaklumkan, bantuan orang ramai cukup berharga dalam kejadian paus terdampar itu.
“Komuniti di Golden Bay cukup luar biasa. Mereka mempunyai begitu banyak pengalaman membantu paus yang terdampar. Pengetahuan mereka sentiasa ditagih untuk membantu paus ini,” terangnya.
Jurucakap Jabatan Pemuliharaan (DOC), Dave Winterburn pula berkata, sepanjang Februari dan Mac merupakan musim paus banyak keluar dari laut buat seketika.
“Walaupun keadaan ini akan membawa nasib malang kepada paus (mati), namun ia merupakan fenomena semula jadi. Ia bukan perkara baharu di Golden Bay.
“Kawasan ini memang terkenal sebagai tempat paus terutamanya daripada spesies pilot terkandas, tetapi puncanya masih tidak diketahui,” katanya kepada agensi berita Badan Penyiaran British (BBC) baru-baru ini.
Menurut rekod, sebanyak 700 paus pilot pernah terdampar di Farewell Spit hingga mengakibatkan 250 ekor daripadanya mati pada Februari 2017.
Para saintis masih gagal mengenal pasti faktor yang menyebabkan begitu banyak paus, terutamanya daripada spesies pilot sering terkandas di sekitar kawasan terbabit.
Ada teori mengatakan, ekolokasi atau sonar biologi paus gagal berfungsi di kawasan itu memandangkan airnya terlalu cetek sehingga menyebabkan mamalia tersebut terkeliru.
Salah seorang penduduk tempatan, Gary Riordan, 62, memaklumkan, pemandangan paus terdampar merupakan perkara biasa di Farewell Spit terutamanya ketika musim panas.
“Ia berlaku agak kerap setiap tahun. Terdapat banyak teori di luar sana mengenai fenomena unik ini. Hasil pengamatan saya, terdapat lima titik panas yang menjadi lokasi paus terkandas di New Zealand.
“Kesemuanya mempunyai persamaan iaitu airnya cetek. Ia pula berlaku bermusim terutamanya pada Januari dan Februari,” terangnya.
Bagi seorang penduduk tempatan, Joanna Wheaton, sepanjang tahun 2016, tiada langsung kejadian paus terdampar di Farewell Spit.
Tahun sebelum itu, dianggarkan kira-kira 200 paus pilot terdampar berhampiran kafe tempat Wheaton bekerja dengan separuh daripada jumlahnya gagal diselamatkan.
“Farewell Spit umpama perangkap semula jadi yang unik buat paus pilot,” katanya.

Ahli Biologi Marin di Universiti Auckland, Dr. Rochelle Constantine turut bersetuju bahawa perairan cetek yang berpasir sepanjang 26 kilometer di Farewell Spit menjadi penyebab utama banyak paus terkandas di situ.
Air laut surut secara beransur-ansur sehingga menyebabkan paus gagal mengesan perubahan berkenaan menggunakan derianya.
Apabila paus sedar mengenainya, ia sudah terlambat.
“Farewell Spit tidak ubah seperti mata kail yang terletak di laluan utama paus. Secara geografinya, ia merupakan tempat yang cukup rumit,” ujarnya.
Terdapat juga teori yang mengaitkan pergerakan secara berkumpulan paus pilot menyebabkan fenomena itu berlaku. Apabila terdapat salah seekor masuk ke kawasan Farewell Spit, paus lain akan ikut serta.
Terang Dr. Constantine, paus pilot terkenal sebagai spesies yang mempunyai ikatan sosial kuat, sekali gus menyebabkan bilangannya cukup banyak apabila terdampar di situ.
“Kami tahu paus jenis ini mempunyai interaksi sosial yang baik. Mereka selalu menghabiskan masa bersama dan kadang-kadang mengikuti petunjuk yang salah.
“Sebab itulah, banyak yang terdampar di sini,” katanya.
Sementara itu, penasihat teknikal spesies marin, Dr. Dave Lundquist menjelaskan, paus boleh membuat navigasi secara salah apabila cuba melarikan diri daripada pemangsa dan mengalami sakit atau kecederaan.
Tegasnya, bunyi-bunyi di dalam air hasil daripada buatan manusia juga boleh menjadi penarik kepada paus sehingga menyebabkan berlakunya fenomena paus terdampar.
“Tiada bukti yang boleh menjelaskan dengan tepat sebab paus ini terkandas di Farewell Spit, walaupun kesnya kelihatan hampir sama dari segi masa dan lokasi,” terangnya lagi.
Salah seorang saintis mamalia dari di Universiti Massey, Karen Stockin berkata, New Zealand telah mencatatkan rekod suhu lautan paling panas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dia percaya, perubahan iklim secara agak drastik itu telah menjejaskan tingkah laku paus pilot.
“Saya mengesyaki fenomena ini berlaku didorong oleh suhu permukaan laut yang lebih panas.
“Kita boleh lihat dan rasa sendiri ketika ini.
“Suhu permukaan laut yang lebih tinggi berkemungkinan telah menjejaskan pergerakan paus sehingga menyebabkannya terpesong daripada laluan sebenar,” terangnya.














