fbpx

Juruterbang China Eastern mungkin pengsan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH pesawat China Eastern Airlines Boeing 737-800 diparkir di Lapangan Terbang Tianhe di Wuhan pada 29 Mei 2020. – AFP

BEIJING – Seorang pakar penerbangan menyatakan bahawa juruterbang China Eastern Airlines berkemungkinan pengsan ketika pesawat tersebut  menjunam sebelum sedar semula dan cuba menghalang nahas daripada berlaku namun, sudah terlambat, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Pakar aviasi berkenaan, Sally Gethin berkata, sembilan kru dan 123 penumpang  berkemungkinan menghadapi detik dua minit yang mengerikan ketika tekanan  ‘g-force’ membuatkan darah naik ke bahagian kepala  sekali gus menyebabkan mereka tidak sedarkan diri.

“Graf pergerakan menunjukkan ketinggian pesawat itu stabil seketika selepas ia menjunam.

“Ini menunjukkan bahawa mungkin seorang atau lebih juruterbang sedar semula selama 10 ke 20 saat dan cuba menyelamatkan pesawat sebelum ia terhempas,” kata Gethin.

Satu klip video yang tersebar menunjukkan pesawat Boeing 737 itu menjunam ketika saat-saat akhir dengan data awal penerbangan mencadangkan bahawa junam  terakhir itu berlaku pada ketinggian sekitar 2,438 meter.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca nahas tersebut, Gethin berkata, masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang spekulasi.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan pesawat yang menjunam dengan pantas dari ketinggian 8,839 meter itu  berkemungkinan berpunca daripada kerosakan yang berlaku pada ekor pesawat.

“Sekiranya bahagian ekor pesawat rosak sebelum menjunam jatuh, ia mungkin kehilangan semua aerodinamik. Ini bermaksud ia tidak boleh beroperasi dengan baik tanpa kemudi pada bahagian ekor,” jelasnya.

Kelajuan pesawat ketika menjunam seperti yang ditunjukkan oleh data daripada laman web Flight Radar 24 mencadangkan bahawa terdapat ‘sesuatu’ berlaku secara tiba-tiba pada ketinggian 8,839 meter itu.

“Nampaknya, kru pesawat bergelut dengan isu yang bukan biasa dihadapi,” ujar Gethin.

Sementara itu, Gethin berkata, pesawat Boeing 737-800 mempunyai rekod keselamatan yang baik  dengan beribu-ribu pesawat itu beroperasi di seluruh dunia.

“Tindakan China Eastern Airlines menghentikan operasi semua pesawat  737-800 miliknya  menunjukkan  ia bimbang akan faktor keselamatan,” tambah Gethin.

Penerbangan China Eastern MU5735  itu dilaporkan berlepas dari bandar Kunming pada pukul 1.11 petang (waktu tempatan) kelmarin dan dijadualkan tiba di Guangzhou pada pukul 3.05 petang.

Ketika memulakan penerbangan turun, pesawat malang itu kehilangan altitud dengan pantas secara tiba-tiba lalu menjunam dari ketinggian beribu-ribu meter dalam masa hanya beberapa minit.

Ia kemudian dilaporkan kembali stabil selama beberapa saat pada ketinggian kira-kira 2,743 meter  sebelum terhempas pada kelajuan 563 kilometer sejam di sebuah kawasan berbukit tidak jauh dari bandar Wuzhou.

Lebih 600 anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat kesemua 132 penumpang termasuk kru, namun memberitahu bahawa tiada tanda-tanda yang menunjukkan terdapat mangsa terselamat.

Dalam pada itu,  China Eastern kelmarin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kru dan penumpang yang terkorban.

“Syarikat mengucapkan takziah kepada ahli keluarga penumpang dan kru yang terkorban dalam nahas ini,” kata China Eastern dalam satu kenyataan tanpa memberitahu angka kematian sebenar.

Agensi berita  AFP melaporkan bahawa Presiden Xi Jinping turut melahirkan rasa terkejut dengan nahas tersebut dan mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan.

“Kami amat terkejut apabila mendapat tahu mengenai nahas pesawat China Eastern MU5735,” kata Jinping, menurut stesen penyiaran tempatan, CCTV. – AGENSI  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI