fbpx
NOR AZIAH mendapat sokongan keluarganya dalam memelihara kesemua kucing berkenaan.­MUHAMMAD ZULFACHRI ZULKIFLI

Cabaran bela 53 ekor kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIAT asalnya mahu menjaga beberapa ekor kucing, namun sehingga ke hari ini, lebih 50 ekor haiwan tersebut berada di bawah jagaan Nor Aziah Md. Idrus, 58 yang tinggal di Sitiawan, Perak.

Menceritakan keadaan tersebut, dia berkata, semuanya bermula sekitar 2005 iaitu daripada empat hingga lima ekor kucing, ia bertambah dari semasa ke semasa sehinggalah mencecah 53 ekor kesemuanya.

Katanya, ada antara kucing-kucing tersebut datang ke rumahnya untuk melahirkan anak, bahkan ada yang dibawa pulang kerana kasihankan haiwan tersebut yang dibuang tuannya.

“Pada 2017, ada kucing saya hilang dan kami sekeluarga keluar mencarinya. Bagaimanapun, pencarian itu menemukan saya dengan kucing lain dan atas dasar simpati, saya membawanya pulang ke rumah.

“Bukan itu sahaja, ada juga kucing yang dibuang tuannya dalam halaman rumah saya. Mungkin mereka tahu saya ada membela kucing, lalu diletakkan beberapa ekor di pekarangan rumah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, kucing paling tua yang masih bersamanya adalah berusia sekitar sembilan tahun, namun secara purata semua haiwan peliharaan itu berusia antara satu hingga empat tahun.

Katanya, membela kucing hadir dengan beberapa tanggungjawab yang perlu dipikul.

Salah satu tanggungjawab tersebut, menurut Nor Aziah, adalah menjaga kebajikan dan kesihatan kucing-kucing berkenaan.

Katanya, sepanjang pengalamannya membela haiwan-haiwan tersebut, dia berhadapan dengan beberapa jenis penyakit yang sinonim dengan kucing.

“Selesema, virus parvo dan Feline Infectious Peritonitis (FIP) adalah antara penyakit yang sinonim dengan kucing dan saya seperti sudah lali berhadapan dengan semua itu.

“Sudah tentu, tanpa persediaan dan ilmu mencukupi, adalah mustahil bagi saya untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya kucing-kucing tersebut sakit,” ujarnya.

Menurut Nor Aziah, sebilangan besar kucing tersebut diletakkan di dalam sangkar khas yang dibina sendiri di pekarangan rumah.

Katanya, sangkar-sangkar berkenaan dibina dengan beberapa tujuan, antaranya adalah sebagai tempat pengasingan antara kucing yang sihat dan sakit.


KUCING-KUCING peliharaan Nor Aziah diletakkan dalam sangkar yang dibina khusus untuk keselesaan haiwan tersebut.

“Sudah tentulah kucing-kucing yang sihat kita tidak akan benarkan bercampur dengan yang sakit. Sebab itulah kami bina beberapa buah sangkar beraneka saiz bagi tujuan pengasingan dan rawatan.

“Kesemua kucing ini turut diberikan vaksin dan ubat berkaitan seperti ubat cacing kerana kami sangat menitikberatkan tahap kesihatannya,” katanya.

Pada masa sama, jelasnya, dia tidak akan mencampurkan antara kucing yang baru dibawa pulang dan sedia ada di rumahnya.

Ini kerana, haiwan tersebut memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di persekitaran baharu.

“Biasanya kami ambil masa empat bulan sebelum membenarkan kucing-kucing ini bergaul.

“Tidak boleh terlalu cepat kerana ia mungkin mendatangkan bahaya kepada diri haiwan tersebut,” katanya.
Nor Aziah memberitahu, dia bertuah kerana ahli keluarganya berkongsi minat sama dan menyokong usahanya membela kesemua kucing berkenaan.


KUCING yang baru dibawa balik diasingkan agar dapat menyesuaikan diri terlebih dahulu.

Suaminya, Mohd. Amin Wahab, 59, serta dua orang anaknya iaitu Lufalubaina, 23, dan Illiyya Iffa, 18, turut membantu menguruskan haiwan peliharaan itu.

“Tanpa mereka, sudah tentu agak mustahil bagi saya seorang diri menjaga kucing-kucing ini.

“Selain ahli keluarga, saya juga menyertai beberapa kumpulan WhatsApp peminat kucing serta mengikuti perkembangan terkini dunia haiwan tersebut menerusi media sosial,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Nor Aziah membela kucing-kucing berkenaan boleh mengalurkan bantuan menerusi pautan https://kitafund.com/?r=QgR6vwAnR.

 

POPULAR