fbpx

Harga tepung naik lagi dekat Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA kedai kek, Naim Musmahairil Mazuki, 23, menunjukkan tepung gandum berprotein tinggi yang sudah naik harga di sebuah kedai pemborong bahan kek dan kuih di Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Harga borong tepung gandum dijangka naik lagi menjelang Ramadan dengan me­lebihi RM23.50 bagi sekotak dengan kuantiti 10 pek.

Seorang pemborong bahan kek dan kuih yang mahu dikenali sebagai Hidayah, 43, mendakwa, pembekal sudah memberi bayangan itu ketika membuat tempahan stok.

“Selain itu, kenaikan mendadak dan kekurangan tepung gandum terutama jenis berprotein tinggi disebabkan ia tidak bersubsidi.

“Kami pembeli syak meno­poli pembekal juga antara punca kerana pembekal tepung mempunyai kawalan besar terhadap bekalan ekoran ketiadaan persaingan,” katanya kepada Kosmo!

Semalam Kosmo! melaporkan kenaikan harga tepung berprotein tinggi menyebabkan peniaga pening kepala memikirkan akan berlaku kenaikan harga kuih-muih yang dijual.

Kenaikan harga itu berlaku menjelang Ramadan dan dijangka berlarutan sehingga Aidilfitri.

Tambah Hidayah lagi, dia mengakui serba salah kerana ramai pelanggan dalam ­kalangan pengusaha kek dan kuih raya mengeluh dengan kenaikan ­harga tepung gandum berprotein tinggi sejak lebih sebulan lalu.

Sementara itu, seorang pengusaha kuih raya, Tengku Amir Amri Tengku Ishak, 37, pula berkata, dia dalam dilema untuk mengambil tempahan pelanggan menjelang bulan Ramadan dua minggu lagi.

“Peningkatan harga bahan seperti tepung gandum dan lain-lain amat membebankan.

“Jika menaikkan harga kuih raya, kasihan kepada pelanggan, kalau harga kekal pula, saya pula tiada untung,” katanya.

Dalam pada itu di Ipoh, Perak, seorang suri rumah, Azlina Aziz, 40, berkata, dia berharap kenaikan itu tidak keterlaluan.

“Ada juga rakan-rakan peniaga kuih dan makanan merungut tepung naik harga.

“Pada saya peniaga sepatutnya tidak terkesan kerana mereka menjual dan mendapat keuntungan, jadi sikit-sikit naik harga itu tidak terkesan sangat,” tambah Azlina. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI