fbpx
DIKECAM dan dilihat tidak berjaya menghasilkan sebuah karya bertaraf ‘festival’, Ogy bertegas, sekurang-kurangnya beliau bercakap dan melakukan sesuatu demi memperbetulkan kepincangan dalam industri.

‘Saya tak peduli apa orang nak kata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILEMPARKAN kritikan konon-kononnya filem pertama arahannya berjudul Asrar tidak mencapai tahap ‘festival’ seperti digembar-gemburkan dan syok sendiri, pelakon senior, Fauziah Ahmad Daud tidak terkesan dengan omongan tersebut.

Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan nama Ogy bertegas, walaupun karya tersebut ada banyak banyak kelemahan seperti didakwa, sekurang-kurangnya, beliau sedang melakukan sesuatu bersifat positif untuk industri.

“Mereka bercakap itu ini tetapi, apa yang mereka dah buat? Saya walk the talk (cakap dan buat). Sejujurnya, saya tak harapkan apa-apa kemenangan pun daripada filem pendek berjudul Asrar ini.

“Saya percaya, untuk mencapai kejayaan, kita perlu bermula dan inilah permulaan saya sebagai seorang pengarah filem.

“Kita luaskan jaringan dan kita juga kena berani menerajang tembok yang ada di depan, barulah nanti orang lihat industri kita (Malaysia) ada ‘sesuatu’,” katanya.
Ogy, 60, ditemui pada majlis pratonton filem pendek pertama arahannya berjudul Asrar di Wisma DBP pada Rabu lepas.

 

OGY sedang dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah filem cereka dalam masa terdekat.

Squid Game tak berjaya sekelip mata

Getus Ogy, sekiranya seseorang itu terlalu ambil pusing dengan apa yang diperkatakan orang sekeliling, memang sukar untuk bertemu kejayaan dalam kehidupan.

“Kalian tengok naskhah Squid Game, takkanlah terus berjaya sekelip mata. Mesti ada prosesnya dan sekarang, baru satu dunia terbuka mata dengan industri seni Korea Selatan.

“Orang nak cakap apa, silakan. Saya tak peduli apa mereka nak kata. Kalau saya sibuk fikir pendapat orang, dari zaman ‘Azura’ dulu, dah bermacam-macam kecaman dan kritikan saya dapat,” katanya.

Ogy berkata, dia tidak takut bersuara untuk kemajuan industri kreatif tanah air kerana visinya mahu betulkan ‘urat-urat’ yang kusut.

“Orang cakap usia saya sudah 60 tahun dan diminta bersara. Saya tak nak sebab saya nak betulkan dan fahamkan tanggungjawab sebagai orang seni. Orang lain tak nak ikut, biarkan.

“Sekarang, ramai generasi dalam industri yang ego tak bertempat. Kemudian cakap kita pula diva.

“Nak saja saya cakap, ‘aku bukan diva, aku ‘lejen’ (legenda) okey’,” katanya.

Sehubungan itu, selepas Asrar, Ogy akan terus mengukuhkan langkah sebagai pengarah apabila bercadang untuk mengarahkan filem berbentuk cereka pada masa akan datang.

“Ini minat saya. Insya-Allah, akan datang filem cereka dan masih perlu berbincang lanjut dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Orang lain nak bergaduh pasal kerusi presiden segala macam, suka hati mereka. Saya nak buat sesuatu kerana saya yakin di Malaysia ramai penggiat seni yang berbakat cuma tak diberi peluang dan ruang secukupnya,” ujarnya.

Asrar menampilkan pelakon dan tenaga produksi terdiri daripada pelajar bengkel lakonan kelolaannya sekitar November lalu, sekali gus menjadi naskhah filem pertama arahan Ogy selepas tempoh 50 tahun terbabit dalam dunia seni.

Skrip Asrar ditulis bekas Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil, manakala lagu runut bunyi Duniaku nyanyian bekas wartawan hiburan dan personaliti televisyen, Zainal Alam Kadir.

Lagu ciptaan Datuk Johari Salleh itu pertama kali dirakam pada 1968 oleh Allahyarham S Ahmad. Asrar adalah adaptasi daripada karya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) hasil tulisan Baharuddin Kahar berjudul Terima Kasih, Tuhanku.

POPULAR