fbpx

Eina Azman aktif tetapi bersyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EINA AZMAN

PELAKON cantik Datin Paduka Eina Azman sebelum ini pernah ‘hilang’ seketika daripada radar industri seni hiburan tempatan.

Bukan merajuk, namun Eina mengambil keputusan untuk ‘berkorban’ demi memberi tumpuan terhadap cahaya mata kembar kesayangannya.

Kehadiran sepasang kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef membuatkan perhatian serta tanggungjawab pemilik nama lengkap Ainur Kyakina Azman itu berubah.

Keluarga menjadi keutamaan walaupun dalam jiwanya, kecintaan terhadap dunia lakonan tetap menebal.

Waktu berlalu, kedua-dua anaknya juga telah pun berusia enam tahun. Bagi Eina, dia gembira dan sentiasa bersyukur kerana dapat melihat permata hatinya itu membesar dengan sihat di depan mata.

Saat-saat indah melihat perkembangan anak sememangnya cukup bermakna buat seorang ibu, sekali gus menjadi penyebab utama Eina mengambil keputusan untuk berundur seketika daripada menjadi tumpuan lensa kamera.

Terkini, Eina mencuri tumpuan ramai menerusi kemunculannya dalam filem baharu, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang sedang hangat ditayangkan menerusi Astro First sejak 3 Mac lalu.

Kata pelakon berusia 27 tahun itu, sewaktu ditawarkan watak oleh sutradara Allahyarham Mamat Khalid, dia berasa sangat teruja untuk kembali bekerjasama dengan pengarah legenda itu.

“Kali terakhir saya berlakon bawah arahan arwah tidak silap selepas saya habis bersekolah ketika berusia 17 atau 18 tahun menerusi filem Zombie Kilang Biskut.

“Beberapa hari sebelum meninggal, arwah ada menghubungi saya untuk tawarkan watak Cik Mek. Memang dia mahukan saya berlakon dalam filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali,” katanya.

Eina akhirnya bersetuju untuk terima tawaran tersebut pada sebelah petang, 23 Oktober tahun lalu, sebelum arwah dilaporkan meninggal dunia pada tengah malamnya (24 Oktober). Ikutkan rasa, terkilan sebenarnya.

“Mengenali arwah, beliau memang seorang yang sangat baik dan kelakar.

“Bila sudah tiada, filem tersebut diambil alih oleh anaknya, Amen Khalid. Isteri Allahyarham, Hasmah Hassan ada hubungi saya supaya memberi sokongan pada Amen untuk teruskan legasi arwah bapanya,” kata Eina.

Selepas muncul dalam filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali, Eina bersyukur kerana dihujani dengan tawaran berlakon. Namun dia perlu bersikap selektif untuk seimbangkan antara kerjaya dan keluarga.

“Alhamdulillah banyak tawaran berlakon yang saya dapat. Tapi saya kena tengok juga jadual dan lokasi. Anak-anak masih bersekolah.

“Saya kena minta izin suami juga. Suami ada beri syarat untuk saya kembali berlakon.

“Contohnya kalau saya ambil tawaran yang memerlukan komitmen kerja selama dua minggu, selepas semuanya selesai, saya kena uruskan anak-anak semula seperti biasa,” katanya.

Eina bersyukur kerana suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah sangat menyokong minatnya terhadap lakonan.

Dalam perkembangan lain, Eina sekali lagi diuji selepas dijangkiti virus Covid-19 buat kali kedua pada Selasa lalu. Lebih membimbangkan, dua orang anaknya turut dijangkiti Covid-19.

“Saya, kakak dan dua anak positif Covid-19 sejak Selasa lalu. Bila tengok anak-anak turut dijangkiti, saya sangat sedih. Awalnya tiada simptom, sehinggalah anak-anak mula demam pada Rabu.

“Untuk kebaikan mereka, setiap hari saya akan masakkan mereka sup ketam nipah. Ketika suami dijangkiti Covid-19 pada tahun lalu, saya beri dia makan sup ketam nipah setiap hari. Ini adalah antara ikhtiar saya selain daripada ubat-ubatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI