fbpx

Tiga sekeluarga ditahan pamer aksi ‘Superman’ di LPT 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aksi menunggang ala 'Superman' yang dikesan dilakukan salah seorang suspek di LPT 2 berhampiran Hentian Bukit Besi, Dungun semalam.

DUNGUN – Tindakan nakal tiga lelaki yang mempunyai pertalian keluarga menunggang motosikal masing-masing secara berbahaya termasuk melakukan aksi ala ‘Superman’ membawa padah apabila mereka ditahan polis di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) di sini semalam.

Dua beradik berusia 21 dan 24 tahun serta abang ipar mereka berusia 28 tahun ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Besi di sini pada pukul 9.55 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, operasi sama juga menyita lima motosikal milik ahli keluarga ketiga-tiga suspek ekoran pelbagai kesalahan trafik.

“Siasatan mendapati kesemua lelaki termasuk tiga yang ditahan dalam perjalanan untuk berkelah di Tasik Puteri, Bukit Besi di sini dari Kota Bahru, Kelantan.

“Tiga lelaki terbabit dikesan menunggang motosikal secara berbahaya secara ‘Superman’ sejauh kira-kira satu kilometer di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Ismail berkata, semakan juga mendapati salah sebuah motosikal dinaiki suspek disyaki telah dicuri setelah dilaporkan hilang di Besut pada bulan Ogos tahun lalu.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu bagi disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI