fbpx

Prosedur baharu rentas Singapura membebankan pemandu lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persatuan Pengusaha Lori Johor memohon kerajaan membantu mereka berhubung pelaksanaan prosedur baharu bagi memasuki Singapura bermula 24 Mac ini.

JOHOR BAHRU – Persatuan Pengusaha Lori Johor berharap kerajaan dapat mewujudkan pusat pemeriksaan saringan Covid-19 RT-PCR (PCR) di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura bagi memudahkan proses pelaksanaan ujian berkenaan khusus buat pemandu lori rentas sempadan.

Pengerusinya, Novan Hing berkata, gesaan itu dibuat ekoran satu kenyataan berhubung pelaksanaan ujian buat semua pemandu lori sebelum memasuki negara berkenaan bermula 24 Mac ini yang dikatakan hasil perbincangan kedua-dua negara.

Katanya, pihaknya hanya dimaklumkan berhubung perkara tersebut minggu lalu namun tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia dikeluarkan mengenainya.

“Sebelum ini, semua pemandu lori yang memasuki Singapura perlu membuat ujian RT-PCR (PCR) apabila memasuki negara berkenaan dengan kos tersebut ditanggung kerajaan Singapura.

“Namun arahan terbaharu yang kami terima adalah kini semua pemandu lori perlu membuat sendiri ujian tersebut dengan setiap ujian terpakai hanya untuk tempoh dua hari.

“Ini bermakna, pelaksanaan prosedur berkenaan bukan sahaja akan meningkat kos pengusaha lori, tetapi juga mengganggu pergerakan lori kerana mereka perlu pergi ke klinik atau hospital untuk membuat ujian,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan prosedur baharu itu akan turut memberi kesan kepada pelanggan apabila pertambahan kos terhadap pengusaha lori berlaku.

“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan dapat membantu memudahkan pelaksanaan prosedur baharu ini iaitu dengan membuka pusat pelaksanaan ujian saringan di kedua-dua sempadan iaitu di Tambak Johor dan di LinKedua,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI