fbpx

Vaksin kurangkan kes Covid-19 serius dalam kalangan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 86,804 kes Covid-19 dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas telah direkodkan dari Minggu Epidemiologi (ME) 1/2022 hingga 10/22.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 83,709 kes (96.44 peratus) mengalami jangkitan kategori satu dan dua semasa baharu didiagnosis, manakala 3,095 kes (3.56 peratus) pada kategori tiga, empat dan lima.

“Ternyata peratus liputan vaksinasi yang agak tinggi dalam kalangan warga emas telah membantu mengurangkan kes Covid-19 serius (kategori tiga, empat dan lima) bagi kumpulan ini.

“Namun begitu liputan dos penggalak perlu dan boleh dipertingkatkan lagi daripada 74.2 peratus agar golongan warga emas lebih terlindung daripada bahaya komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga 16 Mac, sebanyak 3,356,253 (92 peratus) warga emas telah menerima dos primer vaksin Covid-19 yang lengkap.

“Selepas dos penggalak diperkenalkan pada 16 Oktober 2021, sebanyak 2,489,718 (74.2 peratus) warga emas telah mengambil dos penggalak vaksin Covid-19,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, dari ME 39/2021 (26 September hingga 2 Oktober 2022) hingga ME 9/2022 (27 Februari hingga 5 Mac), jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas lebih tinggi berbanding kumpulan umur lebih muda iaitu umur kurang daripada 60 tahun.

“Tahap imuniti di dalam badan terhadap virus SAR-CoV2 akan berkurang (waning immunity) selepas beberapa bulan individu menerima vaksin. Begitu juga dengan tahap imuniti semula jadi (natural immunity) seseorang individu terhadap virus ini selepas dijangkiti virus SAR-CoV2.

“Kajian telah menunjukkan pengambilan dos penggalak mampu meningkat tahap imuniti bagi memberikan perlindungan optimum daripada gejala teruk dan kematian daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, pada tahun lalu, keberkesanan vaksinasi dapat dilihat melalui penurunan ketara kes kematian dalam kalangan warga emas yang telah lengkap dos penggalak berbanding warga emas lengkap vaksinasi dos primer.

“Kes kematian juga turun dengan mendadak dalam kalangan warga emas yang lengkap vaksinasi dos primer berbanding dengan mereka yang langsung tidak menerima vaksin,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI