fbpx

Sampel hasilan daging pasaran tempatan capai status dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Hasil analisis yang telah dijalankan terhadap 207 sampel produk hasilan daging termasuk sosej di pasaran tempatan dan pintu masuk mendapati kesemuanya mematuhi tahap ditetapkan.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd. Salim Dulatti berkata, analisis yang dijalankan itu bagi mengetahui tahap kandungan nitrit susulan laporan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA), Thailand mengenai produk sosej diuji mengandungi nitrit melebihi paras dibenarkan oleh FDA Thailand.

“Bagaimanapun, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan Thailand berkenaan produk sosej yang terlibat.

“Justeru, bagi melindungi kesihatan pengguna, Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan pemantauan keselamatan makanan di pasaran tempatan dan pintu masuk negara agar ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seramai 14 kanak-kanak di Thailand mengalami methemoglobinemia iaitu sejenis penyakit gangguan darah selepas makan sosej tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Salim berkata, nitrit adalah sejenis bahan pengawet makanan yang sering digunakan dalam produk hasilan daging bagi merencatkan pertumbuhan bakteria di samping menyerlahkan warna makanan.

“Pengambilan nitrit pada kadar berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu cepat merasa letih dan penat, sukar untuk bernafas, pening dan sakit kepala, berdebar-debar serta kelihatan pucat.

“Di Malaysia, produk hasilan daging (manufactured meat) seperti sosej boleh mengandungi nitrit pada paras tidak melebihi 80mg/kg selaras dengan standard antarabangsa Codex,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI