fbpx

Mahkamah batal rayuan Peter untuk pindah kes ke Kota Kinabalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter Anthony.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membatalkan rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk memindahkan pertuduhan berkaitan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali pada sebutan kali pertama rayuan itu.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Zakir Ashraf Zubir memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh lain bagi sebutan rayuan tersebut.

Bagaimanapun panel-panel hakim sebulat suara tidak menetapkan tarikh bagi sebutan sebaliknya memutuskan untuk membatalkan terus rayuan yang dikemukakan Peter selaku perayu.

Dalam prosiding hari ini peguam dan Peter, 51, tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan penyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Sebelum ini pada 18 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Peter bagi memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Pada peringkat sekarang, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu telah menetapkan 31 Mac ini untuk mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum memutuskan sama ada Peter akan disabitkan atau dilepaskan atas pertuduhan tersebut.

Ia selepas pasukan pembelaan pada tarikh itu telah menutup kesnya apabila tiga saksi pembelaan selesai memberi keterangan.

Peter yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) turut memberi keterangan dari tempat saksi pada 9 dan 10 Februari lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI