fbpx

Istana Bukit Serena jadi tumpuan, siapa bakal MB Johor?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengamal media berkumpul di hadapan Laman Mahkota di pintu utama Istana Bukit Serene bagi menanti ketibaan kenderaan rasmi yang membawa bakal Menteri Besar Johor yang akan mengangkat sumpah hari ini.

JOHOR BAHRU – Pekarangan pintu utama Istana Bukit Serene, di sini menjadi tumpuan khususnya petugas media daripada pelbagai agensi berita tempatan seawal pukul 10 pagi, tadi.

Istana berkenaan dikerumuni apabila petugas media difahamkan bakal Menteri Besar Johor yang baharu dijangka akan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada pukul 3 petang ini.

Walaupun cuaca hujan, pekarangan istana berkenaan tetap dikerumuni seramai kira-kira 30 petugas media.

Sejak semalam, isu pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat dan juga parti politik susulan terdapat tiga nama disebut-sebut bakal memegang jawatan itu.

Ketiga-tiga mereka ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi.

Onn Hafiz, 44, adalah individu paling hampir dengan spekulasi tersebut kerana beliau merupakan pemimpin muda dan berpengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Hasni sejak Mac 2020.

Malah, teka-teki itu semakin terjawab apabila Hasni dalam kenyataan lewat petang semalam memaklumkan beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor yang disifatkan mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan itu antara calon muda yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI