fbpx

Guna alat pengesan logam cari mangsa kuari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria (tiga dari kiri) mewakili kerajaan negeri melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi mendengar taklimat operasi berkenaan yang memasuki hari kelapan hari ini.

IPOH – Alat pengesan logam akan digunakan bagi mengesan jengkaut yang tertimbus bersama dua pekerja kuari dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Timbalan Komander Operasi 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, operasi mengesan bangkai jengkaut itu akan dimulakan esok selepas kerja-kerja mengalihkan bongkah batu bagi membuka laluan ke lokasi mangsa dipercayai tertimbus selesai hari ini.

Katanya, alat pengesan logam itu akan mengesan kedudukan jengkaut di mana kedua-dua mangsa juga dipercayai berada berhampiran jentera berkenaan.

“Berdasarkan spesifikasi, peralatan itu boleh membuat carian pada kedalaman antara lima ke enam meter sedangkan mangsa dipercayai terbenam antara 15 ke 20 meter.

“Jadi hari ini, kerja-kerja mengalihkan batu dijalankan supaya kedalaman berkurangan sehingga 10 meter dan alat pengesan logam boleh digunakan bagi mengesan jengkaut berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Umrani, pasukan penyelamat juga meratakan sebahagian kawasan di lokasi mangsa dipercayai berada untuk tempat berlindung sekiranya berlaku kejadian luar jangka.

“Di samping melakukan pencarian, kita turut membuat laluan tambahan yang tembus di belakang runtuhan untuk dijadikan lokasi perlindungan.

“Sekiranya berlaku runtuhan di luar jangkaan seperti dinding-dinding batu jatuh, anggota akan berlindung di sebelah sana,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI