fbpx

Pinjaman RM1.44 billion bantu usahawan industri perkayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahpar (dua dari kiri) menanam benih pokok paulownia pada Majlis Perasmian Projek Perladangan Paulownia Huu Haq Resources Sdn. Bhd. di Hutan Simpan Sokor Taku, Tanah Merah hari ini. - ZULHANIFA SIDEK

TANAH MERAH – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menyediakan pinjaman sebanyak RM1.44 billion melibatkan fasa satu dan dua yang diberikan khas buat usahawan industri perkayuan bermula tahun 2007 sehingga 2025.

Ketua Pengarah MTIB, Mahpar Atan berkata, pinjaman itu merupakan usaha kerajaan dalam merancakkan projek pembangunan perladangan hutan di seluruh negara yang diperkenalkan sejak 2007.

Menurutnya, bagi fasa pertama bermula tahun 2007 sehingga 2020, kerajaan telah memperuntukkan pinjaman sebanyak RM940 juta yang melibatkan 129,000 hektar perladangan hutan telah dibangunkan.

“Dalam tempoh itu, pihak MTIB telah menandatangani sebanyak 87 perjanjian dengan usahawan perkayuan di negara ini. Antara permohonan pinjaman utama daripada usahawan adalah untuk menanam pokok getah, buluh, jati dan pokok balak jenis paulownia yang proses tumbesarannya lebih cepat.

“Bagi fasa kedua yang bermula tahun lalu hingga 2025, kerajaan memperuntukkan pinjaman sejumlah RM500 juta bagi menjayakan program itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Perladangan Paulownia oleh Huu Haq Resources Sdn. Bhd. di Hutan Simpan Sokor Taku di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Huu Haq Resources Sdn. Bhd., Datuk Wan Rahmat Marzuki Wan Isa dan Pengarah Urusannya, Wan Mohd. Boestaman Sharudin.

Mengulas lanjut, Mahpar memberitahu, menerusi pinjaman perjanjian itu, pengusaha ladang diberikan kemudahan pengecualian bayaran balik pinjaman bagi tempoh 15 tahun sehingga hasil dapat di tuai.

Sementara itu Wan Rahmat Marzuki berkata, pihaknya telah mengusahakan projek perladangan tiga tahun lalu dengan keluasan 202 hektar dengan membekal dan menjual benih kepada pengusaha yang berminat menceburi industri perladangan paulownia.

“Pokok jenis ini mendapat pemintaan tinggi untuk membuat perabot dan barangan hiasan di China dan Jepun. Selain itu, beberapa negara turut menggunakan tanaman ini dalam industri pembinaan bot dan marin,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI