fbpx
COUTINHO beraksi cemerlang bersama Villa apabila meledak satu gol ketika menewaskan Leeds 3-0 pada aksi EPL di Elland Road awal pagi semalam. – AFP

Aston Villa tambah derita Leeds

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pengurus Aston Villa, Steven Gerrard menghamburkan pujian buat pemainnya selepas berjaya menewaskan Leeds United 3-0 di Elland Road, awal pagi semalam.

Kesemua jaringan Villa dihasilkan oleh Philippe Coutinho, Matty Cash dan Calum Chambers sambil penjaga golnya, Emiliano Martinez juga jarang diuji, sekali gus memastikan rekod tanpa bolos dalam tiga perlawanan terakhir berturut-turut.

“Pemain beraksi dengan cemerlang dan berjaya melaksanakan perancangan pasukan dengan baik. Kami berjaya menjaringkan tiga gol yang hebat dan terus kekal tanpa bolos.

“Ini adalah kali pertama dalam tempoh 12 tahun kami kekal tanpa bolos dalam tiga perlawanan, jadi ini adalah satu statistik yang cukup baik. Pemain berhak untuk mendapatkan pujian ini,” katanya.

Kejayaan ini nyata cukup baik buat Villa, selain mengekalkan rekod bersih tanpa bolos, kelab itu juga menghasilkan sembilan gol dalam tiga perlawanan sekali gus menghadirkan keya­kinan buat Gerrard untuk menghadapi West Ham United, esok.

Jaringan ketiga Villa juga adalah gol pertama Chambers selepas mempamerkan impak besar sejak menyertai pasukan daripada Arsenal, Januari lalu dan perkembangan itu pantas menarik minat Gerrard.

“West Ham berada di kedudukan lebih atas dan sasaran kami adalah untuk melakukan perkara sama dengan apa yang mereka lakukan dalam liga sejak beberapa tahun lalu. Saya menghormati cabaran menanti pasukan selepas ini, tetapi kami kini berada dalam situasi terbaik.

“Saya begitu gembira untuk bekerjasama dengan Chambers. Kini pemain hanya perlu bertenang dan bertindak atas padang,” kata Gerrard. – AGENSI

POPULAR