fbpx

Kuasa TikTok popularkan Nabila Maharani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA MAHARANI

SIAPA sangka, berbekalkan minat dan hobi menyanyi di jalanan sekitar dua tahun lalu akhirnya membuka pintu rezeki buat pendatang baharu dari seberang bernama Nabila Maharani.

Niatnya hanya mahu menghiburkan orang ramai di sekitar pusat bandar Jogjakarta, Indonesia pada malam hari, namun tidak disangka kehadirannya diterima serta menuai perhatian ramai.

Dikurniakan vokal lemak merdu serta lembut selain tenang didengari dan yang pasti mampu memukau halwa telinga sesiapa sahaja mendengar, tidak hairanlah bakat Nabila dijulang ramai.

Namanya kian popular dan menjadi bualan di bibir khalayak terutama buat peminat muzik di negara ini selepas videonya berduet bersama penyanyi Zinidin Zidan menerusi lagu Buih Jadi Permaidani tular dalam Youtube serta TikTok awal Oktober lalu.

Lagu asal dendangan kumpulan Exist itu jugalah yang memperkenalkan gadis berusia 23 tahun itu kepada umum sekali gus membuka mata ramai tentang bakat nyanyian yang dimilikinya.

Nabila sendiri menerusi satu temu bual bersama sebuah program hiburan popular Indonesia langsung tidak pernah menyangka namanya akan tular bukan sahaja di tempat kelahiran sendiri, tetapi di negara serumpun, Malaysia.

“Jujur langsung tak pernah saya sangka boleh sampai ke tahap ini. Langsung tidak pernah saya fikir akan dikenali sampai ke Malaysia.

“Bukan sahaja Malaysia, peminat dari Singapura dan Brunei juga ada yang hantar mesej (DM) dalam Instagram bertanyakan khabar dan memuji suara saya.

“Syukur atas rahmat dan anugerah ini. Tidak pernah saya terfikir untuk bergelar penyanyi seperti sekarang. Saya anggap dan terima ini sebagai satu rezeki,” katanya yang memang aktif menyanyi lagu cover pelbagai genre sebelum tular.

NABILA sebelum ini pernah menghasilkan album mini pada 20 Mei 2020 yang memuatkan lima lagu cover sebelum muncul dengan single perdana hit, Bila Nanti tahun lalu.

Berubah

Meneruskan perkongsian, pemilik nama sebenar Nabila Maharani Widyadewi itu mengakui, putaran hidupnya kini mula berubah selepas dirinya mula dikenali.

Kata Nabila, tidak sekadar menyanyi dan masih aktif melakukan aktiviti busking bersama pasangan duetnya Tri Suaka dan Zinidin Zidan, dia juga kini masih bergelar mahasiswi pada tahun akhir pengajian.

Maka, mahu atau tidak, Nabila yang kini semakin popular menerusi single berhantunya iaitu Bila Nanti perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya seni dan pelajaran.

“Ya, saya harus buat dua perkara dalam satu masa. Kalau sebelum ini, fokus pada pelajaran dan selebihnya berhibur menyanyi di jalanan kalau ada waktu terluang.

“Tetapi sekarang, apabila sudah dikenali dan menjadi penyanyi sepenuh masa, saya harus bijak membahagikan tempoh 24 jam yang ada dengan sebaik mungkin.

“Sekarang saya berada dalam semester akhir sebagai pelajar jurusan pengurusan perniagaan di salah sebuah universiti awam di sini. Jadi makin sibuklah jadual tahun akhir saya,” ujarnya.

Pun begitu, akui Nabila yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 19 Februari lalu, meskipun kesibukan menghambat diri, namun dia menikmati situasi tersebut dan menyifatkannya sebagai satu peluang yang sukar diperolehi.

PENYANYI jelita ini mengakui radar hidupnya mula berubah selepas bergelar artis sepenuh masa
di samping gelaran pelajar yang masih dipegangnya.

Hidu percintaan

Dalam kerancakan namanya mendaki puncak populariti, Nabila yang juga seorang YouTuber turut tidak terlepas terpalit dengan isu percintaan.

Keakraban dan hubungan rapatnya bersama pasangan duet, Tri Suaka yang juga merupakan insan bertanggungjawab menaikkan nama Nabila dihidu peminat.

Rata-rata peminat menebak kedua-duanya kini sedang hangat menjalin hubungan cinta sejak mereka mengenali antara satu sama lain sebelum bergabung menjadi pasangan duet jalanan.

Dakwaan percintaan semakin bertiup kencang apabila hubungan mereka turut mendapat restu ibu Tri Suaka yang mengakui suka kepada Nabila selain sesuai dijadikan menantu pilihan.

Pun begitu, mereka menafikan perkara tersebut dan menyatakan hanya rapat sebagai rakan seindustri.

“Ya, seperti dikatakan Tri Suaka, kami hanya kawan. Kami rapat atas dasar kerja dan minat sama dalam bidang muzik.

“Mungkin ramai yang kata kami bercinta dan hangat menjalin hubungan asmara, terserah nak kata apa. Saya dan Tri Suaka okey sahaja,” katanya.

Tambah Nabila lagi, dia sememangnya selesa berkawan dengan pencipta lagu Bila Nanti itu sejak hari pertama mengenalinya sebelum kemudian mereka mencipta kerjasama duet sehingga tercetusnya idea mewujudkan saluran YouTube Nabila Suaka sejak 2020.

BAB cinta dan hubungan mesra bersama pasangan duetnya, Nabila menafikan perkara tersebut dan tidak kisah peminat bercakap apa sahaja.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI