fbpx

Macau Scam : Polis tidak jalankan siasatan melalui panggilan telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengingatkan orang ramai sebarang siasatan polis tidak akan dilaksanakan menerusi panggilan telefon seperti taktik yang digunakan sindiket Macau Scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, polis menerima laporan kebanyakan mangsa tertipu apabila sindiket memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Sebanyak 1,585 kes telah disiasat melibatkan penipuan Macau Scam bagi tahun lepas manakala sejumlah 557 kes telah dicatatkan setakat Februari tahun ini.

“Melalui siasatan yang dijalankan, polis mendapati antara modus operandi digunakan sindiket adalah dakwaan penglibatan mangsa dalam siasatan kes pengubahan wang haram,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebarang siasatan berhubung kes jenayah pengubahan wang haram akan dikendalikan Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

“Polis tidak akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon semata-mata, saksi berkaitan perlu hadir ke pejabat Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan.

“Selain itu, polis juga tidak akan sewenangnya membeku atau menyita akaun bank milik sesiapa pun, tindakan akan dilakukan setelah siasatan menemui bukti dan keterangan yang mencukupi,” tegasnya.

Susulan itu, beliau menasihati orang ramai agar membuat semakan lanjut dengan pihak polis apabila menerima panggilan yang meragukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI